Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pelakon filem 'Budak Pailang' mengaku bersalah miliki dadah


KUALA KANGSAR: Pelakon filem Budak Pailang, Muhamad Niezam Mohd. Zaidi, 29, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis Ahad lalu.

Muhamad Niezam yang memakai baju lokap berwarna ungu itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Mohd. Shazmeer Zamhari.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Niezam didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 1.15 gram di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri 2, kira-kira pukul 7.15 pagi, 10 Oktober 2021.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, pengarah dan penolong pengarah, Mohd. Latiff Zami, 49, dan Saiful Zaidrin Ismail, 47, masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 0.30 gram dadah jenis kanabis dan 0.38 gram dadah jenis methamphetamine.

Kedua-dua mereka yang dibacakan pertuduhan secara berasingan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, Mohd. Latiff didakwa mengikut Seksyen 6 ADB 1952 manakala Saiful Zaidrin didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) Akta sama.

Sabit kesalahan Saiful Zaidrin boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi menawarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin kepada Muhamad Niezam dan Mohd. Latiff manakala RM8,000 kepada Saiful Zaidrin.

Bagaimanapun, peguam Intan Shafini Mior Shahrin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan dikurangkan pada kadar minimum berikutan ketiga-tiga tertuduh tidak memiliki pendapatan tetap selain terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Intan Shafini, ketika ditangkap, semua mereka sedang menjalani penggambaran pertama setelah kerajaan meluluskan pembukaan semula aktiviti penggambaran filem di luar studio.

Mahkamah kemudian membenarkan Muhamad Niezam, Mohd. Latiff dan Saiful Zaidrin masing-masing diikat jamin berjumlah RM3,000, RM2,600 dan RM3,200.

Mahkamah juga menetapkan tarikh 1 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.

Kesemua mereka membayar wang jaminan berkenaan. 

– UTUSAN ONLINE