Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Peguam Najib menang rayuan kes saman fitnah terhadap Majlis Peguam termasuk Tommy Thomas


PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuan peguam Muhammad Shafee Abdullah berhubung saman fitnahnya terhadap Majlis Peguam kerana melanggar tanggungjawab statutorinya dan dua peguam lain dalam percubaan untuk membincangkan kelakuan beliau sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam kes Liwat II Anwar Ibrahim ketika mesyuarat agung tahunan (AGM) badan itu pada 2015.

Hakim Abdul Rahman Sebli, yang menyampaikan penghakiman panel tiga hakim berkata, Majlis Peguam, Tommy Thomas dan VC George bertanggungjawab atas tindakan mereka.

Namun katanya, hanya Majlis Peguam harus membayar ganti rugi kerana ia adalah sebuah badan berkanun bawah Akta Profesion Undang-Undang.

“Kami tidak mengeluarkan perintah serupa terhadap Thomas dan George kerana mereka bukan badan berkanun,” katanya.

Thomas adalah Peguam Negara dari Jun 2018 hingga Februari 2020, manakala George adalah hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dari 1981 hingga 1995.

Kedua-duanya adalah peguam ketika mereka mengemukakan resolusi untuk membincangkan kelakuan Shafee di AGM dan meminta jawatankuasa baharu untuk merujuk perkara itu kepada Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguamcara.

Panel berkenaan, yang turut dianggotai hakim Rohana Yusuf dan Vernon Ong Lam Kiat, mengembalikan kes ini ke Mahkamah Tinggi untuk penilaian ganti rugi.

Rahman berkata, Majlis Peguam tidak mempunyai kuasa untuk membincangkan kelakuan peguam dalam AGM kerana perkara itu berada bawah bidang kuasa lembaga.

“Setiap aduan mengenai peguam mesti dirujuk kepada lembaga dan tidak boleh melalui AGM Majlis Peguam,” katanya.

Katanya, Thomas dan George sebagai peguam kanan harus tahu bahawa setiap tuduhan salah laku terhadap peguam lain harus dirujuk kepada lembaga berkenaan.

“Sebenarnya, mereka mahu beliau dihukum di AGM sebelum perkara itu dirujuk kepada lembaga,” tambahnya.

Beliau berkata, Majlis Peguam melanggar undang-undang ketika menghebahkan usul dua peguam itu di laman webnya.

“Ini tidak adil dan menghakimi kesalahannya terlalu awal ketika hal ini dikemukakan di hadapan lembaga,” tambahnya.

Menurut Rahman, Seksyen 99 Akta (Profesion Undang-Undang) memperuntukkan dengan jelas bahawa setiap aduan mengenai peguam mesti dirujuk terlebih dahulu kepada lembaga.

Pada 26 Mei 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuang saman Shafee dan keputusan ini dikekalkan Mahkamah Rayuan.

Shafee mendakwa, pada 28 Feb 2015, Thomas telah menerbit dan mengemukakan usul perbincangan di AGM pada 14 Mac 2015.

Usul itu, yang disokong oleh George, adalah mengenai kelakuan Shafee sebagai TPR dalam rayuan kes liwat Anwar di Mahkamah Persekutuan.

Menurutnya, Shafee telah melanggar peraturan profesion undang-undang yang melarang peguam daripada mencari publisiti untuk diri sendiri.

Usul itu juga mendakwa, Shafee telah mengambil bahagian dalam acara jelajah seluruh negara dengan tujuan menghina tahanan yang disabitkan dan menarik perhatian terhadap peranannya dalam sabitan Anwar.

-FMT