Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Ketua Polis Perak jawab isu sumbangan pertubuhan 'Freemasons'



Tidak menjadi kesalahan bagi mana-mana pertubuhan agama atau fahaman untuk memberikan sumbangan kepada anggota keselamatan di negara ini, kata Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Beliau berkata tindakan Persatuan Kebajikan Bintang Utara mewakili pertubuhan Freemasons negeri-negeri Utara Semenanjung Malaysia menyumbangkan 5,000 pelindung muka adalah bagi membantu anggota keselamatan yang bertugas sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

"Sebenarnya, tidak menjadi masalah sesiapapun boleh bagi sumbangan kepada pihak kita, lagi pun sumbangan pelindung muka untuk diedarkan kepada pihak polis dalam menghadapi tugasan harian, kita sama-sama berjuang mengekang jangkitan Covid-19 dan mereka tampil ke depan untuk membantu.

"Saya tidak nampak ada sebab kita boleh menghalang mereka daripada memberi sumbangan kepada sesiapa sahaja kerana itu hak mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada seorang pengamal media akhbar berbahasa Tamil, Letchumi Rajoo yang menghidap penyakit angin ahmar di kediamannya di Taman Desa Pengkalan di Ipoh hari ini

Portal berita (Malaysiakini) hari ini melaporkan, Persatuan Kebajikan Bintang Utara yang mewakili pertubuhan Freemasons daripada negeri-negeri Utara Semenanjung Malaysia menyalurkan bantuan 5,000 pelindung muka kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh pada 15 Okt lepas.


Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash (gambar, atas) berkata pihaknya bersedia membantu Polis Kontinjen Johor untuk menjejaki dua beranak berhubung kes pemalsuan dokumen surat aku janji bagi menjalankan urusan pertukaran mata wang asing yang menyalahguna nama Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Setakat ini kita belum jumpa lagi dua individu yang dikehendaki itu dan sekiranya ada info lanjut kita akan maklumkan kemudian," katanya.

Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya sedang menjejaki M Parameswaran, 64, dan anaknya P Kuganathan, 34, beralamat terakhir di Persiaran Jelapang 16, Taman Sibilin di Ipoh yang dipercayai terbabit dengan kes berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan polis Johor memburu tiga individu tempatan dipercayai terbabit dengan kes pemalsuan dokumen surat aku janji bagi menjalankan urusan pertukaran mata wang asing menyalahguna nama Tunku Ismail.

Ia membabitkan dokumen letter of undertaking pertukaran mata wang dolar Amerika Syarikat (AS$) kepada ringgit yang dipercayai palsu.

- Bernama