Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kajian projek HSR hanya dari KL - Johor dah siap, tunggu serah kabinet


PETALING JAYA: Satu kajian ke atas cadangan projek Kereta Api Laju (HSR) dari Kuala Lumpu hingga ke Johor (Iskandar Puteri) sahaja sudah siap dan akan diserahkan kepada Kabinet, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, cadangan untuk menghubungkan HSR ke Bangkok, Thailand di peringkat yang “sangat awal”. Ia dicadangkan bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Tetapi kajian untuk HSR KL-Iskandar Puteri sudah siap. Kami hanya tunggu ia diserahkan kepada Kabinet,” katanya dalam sesi soal jawab yang dikendalikan Pengerusi Bursa Malaysia Berhad, Wahid Omar di Invest Malaysia 2021.

Mustapa yang lebih dikenali sebagai Tok Pa berkata, Putrajaya turut menerima beberapa cadangan dan pembentangan mengenai projek MRT3 serta mengakui ada keperluan untuknya.

“Namun model itu perlu dikaji dengan teliti. Bagi kami dalam kerajaan, apa yang penting ialah jumlah wang kerajaan yang perlu disalurkan untuk menjayakan projek itu.”

Mustapa berkata, ada cadangan supaya MRT3 dibina secara “sederhana” berdasarkan keadaan kewangan semasa kerajaan.

Katanya, Putrajaya akan cuba meminimumkannya dengan membantu dari segi pengambilan tanah, pinjaman sokongan dan jaminan kerajaan.

“Dari segi bantuan kerajaan, dalam keadaan sekarang, kami perlu meneliti implikasi kewangan. Apabila keadaan ekonomi bertambah baik dan dana kerajaan ditingkatkan, kita akan melihat kembali beberapa projek ini.

“Untuk dua projek ini, MRT3 misalnya, terdapat keperluan. Penggunaan pengangkutan awam kita sekarang sekitar 20%, sangat rendah untuk sebuah negara pada tahap pembangunan ini.

“Kami menyasarkan 40% atau 50% dan jika mungkin lebih daripada itu. Ini juga sangat penting dari seri pembangunan mampan.”

Mustapa berkata, kementeriannya sedang membangunkan model baharu perkongsian awam swasta (PPP 3.0) yang lebih lestari untuk mengurangkan komitmen kewangan Putrajaya sebaik sahaja sebarang projek selesai.

Dahulu katanya, kerajaan akan membayar kos penyelenggaraan selepas sesebuah projek siap, selain membantu dalam pengambilan tanah, memberikan pinjaman sokongan dan jaminan kerajaan.

“Tetapi prinsip umum ialah, pertama, kami fikir untuk menyediakan beberapa bentuk bantuan ‘one-off’ dan kedua, pelaksanaan sesebuah projek tidak akan membawa beban tambahan kepada kerajaan.”

Bagaimanapun katanya, semua ini masih diusahakan dengan kertas konsep akan dibentangkan kepada Kabinet sebaik sahaja ia dimuktamadkan.

sumber: FMT