Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

PAS sokong penuh Ahmad Maslan dilantik Timbalan Speaker

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad


YAN: Pas menyokong penuh pencalonan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula Isnin ini. 

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, kesemua Ahli Parlimen Pas akan memberi sokongan terhadap pencalonan Setiausaha Agung UMNO itu selepas penyandangnya yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman meletakkan jawatan.  

“Insya-Allah, seramai 18 orang (Ahli Parlimen Pas) akan berikan sokongan kepada  Ahmad Maslan,” katanya selepas meninjau kawasan yang terjejas dalam kejadian kepala air di Titi Hayun di sini hari ini.

Idris sebelum itu menyampaikan sumbangan Musa’adah Bencana Banjir Kepala Air bernilai sebanyak RM516,600 kepada mangsa tragedi itu.

Sumbangan tersebut hasil bantuan pelbagai bentuk barangan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)/Yayasan Taqwa.

Pada Rabu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengesahkan Ahmad merupakan satu-satunya calon dari blok kerajaan untuk dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.

Sementara itu, blok pembangkang pula mencalonkan Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mewakili Pakatan Harapan (PH).

Mengulas mengenai kes mahkamah membabitkan Ahli Parlimen Pontian itu, Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, seseorang itu tidak boleh dijatuhkan hukum selagi tidak dibuktikan bersalah dalam satu-satu kes.

“(Saya berpendirian) selagi hukuman tidak dijatuhkan, kita tidak boleh anggap dia bersalah,” ujarnya.

Ahmad kini berhadapan dengan kes mahkamah membabitkan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

– UTUSAN