Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Ketua Pembangkang diberi saraan dan kemudahan bertaraf Menteri



KUALA LUMPUR – Kerajaan komited melaksanakan Transformasi Parlimen dan pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik termasuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.

Selain itu, kerajaan juga komited demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, mesyuarat jemaah menteri hari ini bersetuju berkenaan perkara itu.

“Ini selaras dengan titah nasihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu tentang peri pentingnya sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

“Kerajaan berpandangan fokus dan keutamaan yang perlu diberikan oleh semua pihak pada ketika ini adalah terhadap kestabilan politik dan pentadbiran negara dalam memerangi Covid-19 serta pemulihan ekonomi,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Menurut Ismail Sabri, tawaran itu juga bertujuan mewujudkan lanskap politik baharu dengan melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya
memperkasakan peranan institusi Parlimen.

Pada masa yang sama, katanya, kerajaan komited untuk memperkenalkan lebih banyak transformasi dari semasa ke semasa.


Tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan meliputi;

1. RUU Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.

2. Pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat. Justeru, satu Rang UndangUndang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan.

3. Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

4. Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan ahli Parlimen kerajaan dan ahli Parlimen pembangkang.

5. Setiap RUU termasuk RUU Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.

6. Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.

7. Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

Menurut Ismail Sabri, transformasi kerajaan itu juga memaktubkan nilai-nilai murni dan muafakat merentasi pelbagai latar agama, kaum dan budaya dalam konteks Keluarga Malaysia.

Ini juga selaras dengan semangat untuk terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat dan bernegara, katanya.

- MalaysiaGazette