Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Israel kini lubuk penyebaran Covid-19 varian Delta



BAITULMUQADDIS – Satu tinjauan mendapati Israel kini menjadi lubuk penyebaran wabak Covid-19 dunia meskipun mencapai imuniti kelompok sejak April lalu, lapor akhbar Daily Mail, semalam.

Tinjauan itu juga membayangkan bahawa negara-negara dengan kadar vaksinasi tinggi lain seperti Amerika Syarikat (AS) dan Britain akan turut terdedah dengan situasi serupa akibat varian Delta.

Data yang dikumpulkan Universiti Oxford di samping  kajian oleh kumpulan Our World In Data itu mendedahkan bahawa terdapat  1,892 kes Covid-19 bagi setiap sejuta  orang di Israel setakat Rabu lepas yang merupakan 0.2 peratus daripada keseluruhan penduduknya  dalam masa satu hari.

Angka itu jauh lebih tinggi daripada Mongolia iaitu negara kedua paling teruk dilanda Covid-19 dengan catatan 1,119 kes setiap sejuta penduduk.

Sejak pertengahan  Ogos lalu, Israel menunjukkan trend peningkatan jangkitan yang konsisten apabila dilanda gelombang ketiga meskipun merupakan salah satu negara paling tinggi kadar vaksinasi di dunia.

Sebagai perbandingan, 522 orang dalam setiap satu juta penduduk Britain disahkan positif Covid-19 kelmarin dan angka itu menghampiri  595 orang di AS.

Ini menunjukkan bahawa perlindungan yang diperoleh daripada  vaksin mula menunjukkan penurunan terutama apabila berdepan dengan varian Delta yang sangat mudah berjangkit.

Namun begitu, perlindungan vaksin berjaya mengehadkan jumlah kematian iaitu  kira-kira separuh daripada korban yang dicatakan ketika gelombang kedua Covid-19 menyerang negara itu.

Israel menawarkan dos penggalak kepada golongan berusia lebih 60 tahun sejak Julai lalu dan data menunjukkan bahawa program pelalian tambahan itu telah membantu mengekang peningkatan kemasukan ke hospital.

Selepas kejayaan program dos penggalak kepada kumpulan berisiko, Israel kini mula membuka peluang pemberian dos ketiga itu untuk buat warganya yang berusia 12 tahun dan ke atas.

 – Agensi