Sultan Johor beri sumbangan peribadi RM5 juta kepada hospital
DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan sumbangan peribadi sebanyak RM5 juta bagi membeli peralatan untuk keperluan hospital-hospital di negeri ini bagi menangani pandemik COVID-19.
Baginda Tuanku Sultan bertitah, ketika ini kes jangkitan COVID-19 semakin meningkat dengan bilangan jumlah pesakit yang menerima rawatan di hospital-hospital kerajaan di seluruh daerah turut meningkat.
Justeru, DYMM Sultan Johor bertitah, sumbangan wang tunai daripada sektor swasta penting untuk memastikan sistem kesihatan di hospital-hospital di Johor terus dilengkapi dengan pelbagai peralatan perubatan untuk terus merawat pesakit COVID-19.
Baginda Tuanku Sultan turut menerima permohonan bantuan senarai peralatan perubatan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Johor untuk menangani pandemik berkenaan.
Antaranya, keperluan katil, oxygen regulator (bull nose), oxygen regulator (pin index), oxygen flow meter, 10L cylinder medical oxygen gas/regulator/trolly dan set tekanan darah tinggi serta pelbagai lagi barangan.
“Kita perlu menangani pandemik COVID-19 secara bersama dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan, saya berharap sektor swasta turut tampil dalam menghulurkan bantuan kewangan di mana peralatan-peralatan perubatan ini dapat disampaikan kepada hospital.
“Sumbangan boleh disampaikan kepada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor untuk pembelian barangan perubatan, manakala sumbangan kepada Yayasan Sultan Ibrahim Johor akan digunakan untuk bantuan makanan kepada golongan memerlukan,” titah DYMM Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) pada hari ini (6 Ogos).
DYMM Sultan Johor, bertitah rakyat di negeri ini yang memerlukan bantuan makanan boleh menghubungi Pejabat-Pejabat Daerah atau Pejabat Penghulu di kawasan masing-masing.
“Sejak April tahun lalu ribuan bantuan barangan keperluan makanan disampaikan kepada rakyat menerusi YSIJ di semua daerah,” titah Baginda.
Sektor swasta yang ingin menyampaikan sumbangan boleh menghubungi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor ditalian 07-2345252 atau Yayasan Sultan Ibrahim Johor ditalian 07-3564848.