Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tuduhan gubah wang haram RM15 juta ke atas bekas peguam Najib ditarik balik



PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan penasihat undang-undang UMNO Mohd Hafarizam Harun, atas tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta.

Hafarizam dibebaskan selepas bersetuju membayar kompaun RM590,587.26 Difahamkan kompaun itu dijelaskan pada Khamis lalu.

Hakim Suzana Hussin membebaskan peguam itu, selepas Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik ketiga-ketiga pertuduhan terhadap Mohd Hafarizam, selepas beliau bersetuju untuk kesemua kesnya dikompaun.

Peguam itu dituduh menerima wang dari akaun bank Najib Razak pada tahun 2014 dan 2015. Beliau telah mewakili bekas perdana menteri dalam beberapa kes sivilnya.


Hafarizam berkata keputusan mahkamah itu sebagai menyerlahkan pendiriannya bahawa tuduhan pengubahan wang haram itu bersifat “pendakwaan terpilih”.

“Dana (itu) …bukan untuk kepentingan saya atau bekas syarikat saya, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

“Saya hanya memegang dana berkenaan, sebagai pemegang taruh untuk klien, dan membuat bayaran kepada pihak ketiga berdasarkan arahan klien. Urus niaga sebegini adalah perkara biasa bagi semua peguam,” tambahnya.

Untuk rekod, mengikut pertuduhan pertama Mohd Hafarizam, 48, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima wang berjumlah RM7.5 juta yang juga hasil daripada aktiviti haram melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib bertarikh 16 April 2014, yang dimasukkan ke dalam akaun bekas firma guamannya iaitu Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM).

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Mohd Hafarizam didakwa menerima wang berjumlah RM4 juta dan RM3.5 juta yang juha hasil daripada aktiviti haram melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib bertarikh 7 November 2014 dan 21 Januari 2015 yang dimasukkan ke dalam akaun firma guaman sama.

-MalaysiaKini/TunCarlos