Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

"Saya ke Gaza semua guna duit sendiri" Ebit Lew buat laporan polis




KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal,  Ebit Lew hari ini membuat laporan polis bagi menyangkal segala dakwaan yang dianggapnya  tidak berasas oleh Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Muhammad Nadir merupakan rakyat Malaysia yang menetap di Palestin atau lebih dikenali sebagai Nadir Al-Nuri.

Bagaimanapun Ebit ketika ditemui tidak menyatakan secara terperinci intipati laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas hadir pukul 6.15 petang tadi.

Bagaimanapun beliau bersedia membuat penjelasan terhadap segala isu yang dibangkitkan Nadir terhadap beliau esok.

“Sebelum ini saya sememangnya berdiam diri terhadap sebarang tohmahan dan fitnah terhadap diri saya, dari dulu lagi namun berkaitan isu terbaru ini apabila saya tiba dari Gaza, anak dan isteri saya sendiri tidak dapat menahan kekecewaan dan menangis tentang segala tuduhan yang datang, maka saya rasa terpanggil untuk membuat laporan polis hari ini.


“Laporan (polis) ini adalah sebagai menyangkal segala dakwaan yang tidak benar berkaitan misi di Semenanjung Gaza, Palestin dan meminta polis menyiasat segala fitnah yang dilemparkan oleh pihak-pihak berkenaan.

“Dalam laporan polis itu, saya telah memberikan nama-nama serta mereka yang memetik dan berkongsi segala kenyataan fitnah pihak itu kepada pegawai penyiasat untuk membantu siasatan polis,” katanya selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi.

Tambah Ebit, beliau yang tidak berniat bergaduh atau bermusuh dengan sesiapa sebenarnya sedih dengan laporan-laporan tidak berasas yang disebarkan dalam media sosial sehingga menjatuhkan semangat ahli keluarga dan pasukan misi bantuannya sendiri.

“Apa yang saya boleh katakan laporan ini sememangnya bagi menyangkal dakwaan yang sebelum ini dikeluarkan oleh Nadir Al-Nuri dan selebriti Caprice.

“Segalanya akan saya perjelaskan esok sama ada secara live platform sendiri atau ada orang lain yang membenarkan menerusi platform mereka,” tegasnya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan dibuat di Balai Polis Dang Wangi kira-kira pukul 6.40 petang tadi.

“Ya, kita telah terima laporan dibuat itu, ada tiga orang yang hadir.

“Biar kita siasat dahulu. Itu sahaja boleh ulas setakat ini,” katanya ketika dihubungi.


-MalaysiaGazette