Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Sajat terima notis bankrap



Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan notis kebankrapan yang difailkan terhadap Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat diserahkan menerusi notis iklan dan penampalan, selepas usahawan kosmetik itu gagal membayar ganti rugi RM200,000 kepada bekas stokis utamanya.

Peguam Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili OWA Resources berkata, notis itu diserahkan secara penyampaian ganti memandangkan lokasi sebenar defendan masih tidak dapat dijejaki.
 
“Notis iklan dan notis tampal telah dibuat dua plaintif, Nurwati Hussin dan Mohammed Syakir Hussin minggu ini dan mereka belum menerima sebarang afidavit membantah notis kebankrapan daripada Muhammad Sajjad.

“Anak guam tidak dapat menjejaki lokasi sebenar defendan. Oleh itu, kami mendapatkan kebenaran mahkamah untuk menyerahkan notis secara iklan dan menampal notis di mahkamah dan depan rumah defendan,” katanya dalam kenyataan.


Terdahulu, Nur Sajat dilaporkan gagal dalam rayuannya membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkan usahawan itu membayar ganti rugi hampir RM200,000 kepada OWA Resources.
 
Hafidzah berkata, anak guamnya berjaya membekukan akaun bank defendan tahun lalu, tetapi hanya memperoleh RM5,000 sahaja, iaitu baki terkini daripada akaun terbabit.

“Ini dilakukan melalui tindakan garnisi terhadap semua akaun defendan. Berikutan kegagalan defendan membayar penghakiman mahkamah, anak guam tiada pilihan lain melainkan membankrapkan defendan.”


Katanya, OWA Resources cuba menyerahkan notis bankrap kepada Nur Sajat sebanyak tiga kali, termasuk surat temu janji, namun gagal sebelum plaintif memfailkan notis melalui notis iklan di akhbar, mahkamah dan rumah defendan.

Notis itu menyatakan Nur Sajat perlu membayar RM113,327.00 dengan kadar faedah 5% setahun atas jumlah baki bermula 13 Sept 2018, iaitu tarikh pemfailan writ saman sehingga 3 Mac lalu sebagai tarikh notis kebankrapan.

Dia juga perlu membayar kos mahkamah sebanyak RM70,000 yang berjumlah RM197,329.87 setakat 3 Mac lalu.

-FMT