Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pekebun haram robohkan jambatan, elak kebun Musang King dimusnahkan



RAUB: Empat jambatan simen dirobohkan dipercayai dilakukan pekebun durian Musang King yang meneroka secara haram kawasan Hutan Simpan Batu Talam, di sini semalam.

Ia menyebabkan operasi pihak berkuasa untuk memusnahkan kebun berkenaan terhenti apabila anggota penguat kuasa terpaksa mengambil masa panjang untuk membaiki jambatan berkenaan.

Sebelum itu, sebuah pacuan empat roda dipercayai milik pekebun menghalang laluan selepas dikatakan tayarnya bocor, namun itu dikatakan helah untuk melengahkan operasi.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nor Azirim Ahmad berkata, dua halangan dibuat pihak tidak bertanggungjawab itu menyebabkan operasi musnah semalam tidak dapat diteruskan seperti dirancang.


Menurutnya, mereka yang terbabit tiba di lokasi agak lewat berikutan terpaksa membaiki jambatan dengan cara mengangkat semula dua lantai simen jambatan yang dijatuhkan ke dalam anak sungai.

Katanya, anggota terbabit terpaksa mengikat menggunakan tali dan mengangkat secara secara beramai-ramai.

"Operasi turut membabitkan kakitangan Unit Penguatkuasa JPNP Zon Pahang Barat dan Timur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Balai Tranum.

"Saya difahamkan hari ini anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Tenggara Kem Bukit Galing, Kuantan turut akan menyertai operasi musnah, kehadiran mereka lebih menjamin keselamatan mereka yang menjalankan tugas," katanya yang turut sama menyertai operasi berkenaan, semalam.

Beliau menambah, sepanjang operasi musnah itu, seramai 22 individu terdiri daripada pekerja dan pemilik kebun ditahan kerana kesalahan berada dalam Hutan Simpan Batu Talam dan mereka didakwa di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.


JPNP bertindak tegas dengan memusnahkan kebun durian Musang King seluas kira-kira 101 hektar yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Batu Talam.

Kebanyakan pokok dewasa kini sedang mengeluarkan hasil yang banyak dan buah sudah mula gugur secara berperingkat.

Tinjauan dalam kawasan Hutan Simpan Batu Talam mendapat aktiviti menebang dilakukan kelmarin membabitkan lebih 200 pokok durian Musang King.

Masih terdapat banyak lagi pokok buah itu yang akan musnahkan.

-hmetro