Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Lelaki mengaku tak bersalah ugut doktor guna kepala dan kaki ayam


PETALING JAYA – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan mengugut seorang doktor dengan menghantar botol berisi kepala dan kaki ayam pada bulan lepas.

Tertuduh, T. Sukminder Singh, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhannya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret, Muhammad Iskandar Zainol.

Mengikut fakta pertuduhannya, Sukminder didakwa menakutkan seorang doktor berusia 55 tahun dengan menghantar bungkusan melalui pos dan kiriman itu didapati mengandungi nota ugutan dan satu botol kecil berisi kaki serta kepala ayam.

Tertuduh telah didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah klinik yang terletak di Kota Damansara sekitar jam lebih kurang 3 petang pada 8 Jun lalu.

Dia dituduh di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes Sharifah Zafirah Syed Mustapa menawarkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguambelanya, Datuk Suraj Singh merayu mahkamah supaya satu kadar ikan jamin yang terendah dan munasabah diberikan terhadap anak guamnya.

Beliau memberitahu mahkamah tertuduh telah hilang pekerjaan ekoran pandemik Covid-19 ketika ini.

Selepas mendengar rayuan Suraj Singh, Muhammad Iskandar membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

-MalaysiaGazette