Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

"Kalau perlu, kita mohon menghadap Agong" -Anwar



PARLIMEN | Anggota Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan usul hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dalam usul yang disampaikan kepada speaker Dewan Rakyat hari ini, Anwar juga mahu Muhyiddin dimakzulkan (digugurkan) daripada jawatan perdana menteri dengan segera.

Usul itu dikemukakan susulan teguran istana terhadap kerajaan dalam isu pembatalan ordinan darurat yang belum mendapat perkenan Yang di-pertuan Agong serta tindakan menteri yang mengelirukan Dewan Rakyat.

"Jelas bila kenyataan rasmi Istana Negara pada 29 Julai telah membidas sikap biadab dan derhaka Takiyuddin Hassan (menteri undang-undang) yang secara terang telah mengelirukan rakyat, di mana beliau menyatakan bahawa semua ordinan darurat telah dibatalkan pada 21 Julai, wahal ia telah dititahkan dibentang/dibahaskan di parlimen bagi tujuan perungkaian.


"Saya Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Port Dickson mengemukakan usul seperti berikut bahawa Dewan Rakyat ini mengambil ketetapan untuk menyatakan bahawa hilang kepercayaan pada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin (Pagoh) dan dimakzulkan daripada jawatan perdana menteri dengan segera menurut Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam sidang media, di lobi Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Anwar berkata demikian ketika mengulas kenyataan Istana Negara tengah hari tadi, di mana Agong tidak memberi perkenan pembatalan peraturan darurat dan menuduh Takiyuddin mengelirukan Dewan Rakyat.

Anwar juga berkata bahawa keengganan kerajaan mengadakan sebarang bentuk undian, menunjukkan kerajaan PN sudah hilang kepercayaan ahli parlimen.

"Ada dua perkara saya ingin tambah, keengganan mereka mengadakan apa saja bentuk undian, mereka tahu mereka sudah hilang kepercayaan ahli parlimen.

"Kedua, setelah titah diRaja sampai, mereka masih enggan dan mencari helah. Oleh itu, kita tidak mahu tunggu lagi... parlimen sudah bersidang. Kita sudah menyatakan pandangan," katanya.


Terdahulu, ketua pembangkang itu menghantar usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin ke pejabat Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Usul itu dihantar di bawah Peraturan Mesyuarat 14 (1)(h), 26 (1)(d), dan Peraturan Mesyuarat 36 (12) serta Perlembagaan Persekutuan.

"Sekiranya ada integriti, dia perlu letak jawatan. Kerana dia tidak tersedia menghadapi parlimen dan tidak yakin memiliki majoriti. Sekarang, setelah kita membuktikan fakta itu di parlimen.

"Kita menyerahkan budi bicara Tuanku Agong untuk memutuskan apa yang terbaik untuk menyelamatkan negara ini dari krisis sekarang," katanya.

"Kita akan lihat perkembangan dalam satu dua hari. Kalau perlu, kita mohon menghadap (Agong)," tambahnya.

-MalaysiaKini