Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Polis buru sekumpulan rider Foodpanda serang pemandu lori di Setia Alam


Shah Alam: Beberapa penghantar makanan diburu susulan insiden pergaduhan dan memukul seorang lelaki selepas berlaku kemalangan di Jalan Persiaran Setia Perdana, Setia Alam, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kemalangan pada 5.30 petang itu membabitkan penunggang motosikal yang juga penghantar makanan dengan sebuah lori.

Katanya, penunggang itu mengalami patah tangan kanan dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

"Siasatan mendapati pergaduhan terjadi antara sekumpulan lelaki yang juga penghantar makanan dengan pemandu lori terbabit.


"Kecederaan dialami pemandu itu belum dipastikan dan kita dimaklumkan dia akan hadir pada tengah hari ini untuk buat laporan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Baharudin berkata, pihaknya sudah menahan dua penghantar makanan berumur 20 tahun dan 25 tahun di sekitar Shah Alam bagi membantu siasatan kes pergaduhan itu, semalam.

"Usaha untuk mengesan suspek lain sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147/427 Kanun Keseksaan," katanya.


Menurutnya, siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kes kemalangan.

Beliau menasihati masyarakat supaya tidak mengambil tindakan melulu dalam apa jua situasi yang boleh menyebabkan berlaku pelanggaran undang-undang.

Sebelum ini tular di media sosial, video yang menunjukkan sekumpulan penghantar makanan memukul pemandu selepas berlaku kemalangan.

-HMetro

video di lokasi kejadian: