Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

23,000 pegawai perubatan kontrak mahu lancarkan mogok


PETALING JAYA: Sekumpulan pegawai perubatan kontrak yang mewakili 23,000 kalangan perjawatan itu memberi kata dua kepada kerajaan untuk melakukan mogok pada akhir Julai ini sekiranya masih tidak menyelesaikan isu mengenai penempatan tetap mereka.

Difahamkan, mereka akan me­ngeluarkan surat terbuka ter­lebih dahulu, disusuli penye­rahan memorandum kepada ke­rajaan untuk menjelaskan pendirian kumpulan itu.

Antara isu yang dibangkitkan ialah mereka tidak mendapat faedah tertentu, perbezaan gaji RM700 sebulan dan tidak ada peluang melanjutkan pelajaran kecuali menanggungnya sendiri.

Mengulas isu itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, lantikan tetap pegawai perubatan kontrak bukan ditentukan Kementerian Kesihatan semata-mata.


Sebaliknya, kata beliau, keputusan akhir dibuat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengikut kekosongan jawatan yang ada.

Difahamkan, pada masa ini terdapat 23,077 pegawai perubatan kontrak direkrut sejak 2016, tetapi hanya 789 pegawai diserap sebagai kakitangan tetap.

Menurut Dr. Adham, bagaimanapun pihak Kementerian Kesihatan turut terlibat dalam proses perakuan pelantikan secara tetap melalui tiga Jawatankuasa Penilaian bagi memelihara ketelusan dan integriti.

Beliau menjelaskan, jawatan kuasa itu ialah Jawatankuasa Teknikal Pelantikan Tetap di pe­ringkat Program Perubatan, Jawatankuasa Pemilihan Pelantikan Tetap yang dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pe­ngurusan) dan perakuan pelantikan tetap kepada Pengurusan Tertinggi Kementerian iaitu Ke­tua Pengarah Kesihatan dan Ketua Setiausaha Kementerian.

“Mengenai pelantikan secara tetap, ia ditawarkan kepada pegawai yang melepasi kriteria pelantikan tetap yang telah digariskan menerusi surat pekeli­ling yang ditetapkan.

“Selain itu, ia dilaksanakan berdasarkan kekosongan jawatan tetap dari semasa ke semasa selaras dengan peraturan berkaitan perjawatan dan kewangan yang berkuat kuasa,” katanya di sini semalam.


Beliau turut menegaskan, perkhidmatan kesihatan di negara ini tidak diberikan oleh Kementerian Kesihatan kerana peluang pekerjaan juga terdapat di hospital bawah Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pertahanan dan dalam sektor swasta.

Sejak 1 Disember 2016 sehingga 31 Mei lalu, seramai 23,077 Pegawai Perubatan UD41 dilantik secara kontrak bagi menjalani latihan siswazah dan khidmat wajib.

Daripada jumlah tersebut, seramai 789 daripada 2,544 pegawai dari Kohort Lantikan 1 Tahun 2016, Kohort Lantikan 1 Tahun 2017 dan sebahagian Kohort Lantikan 2 Tahun 2017 yang layak diperakukan pelantikan tetap telah pun ditawarkan pelantikan tetap.

Difahamkan, wakil daripada 23,000 pegawai perubatan kontrak itu mendedahkan bahawa mereka akan melakukan mogok dan tidak turun bekerja jika isu pelantikan tetap masih tidak diselesaikan dan merancang mengadakan mogok pada 26 Julai ini dan memberi tempoh bermula 1 Julai untuk memenuhi tuntutan tersebut 

-Utusan Malaysia