Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Perlantikan Sri Ram didakwa tidak sah, Rosmah failkan permohonan batal kes projek solar




Rosmah Mansor memfailkan permohonan membatalkan perbicaraan kes rasuah atas tuduhan penyelewengan dana projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak melalui pasukan guaman daripada Messrs Akberdin & Co memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Menurut kertas kausa disediakan kepada media hari ini, permohonan pembatalan itu berkisar seputar isu kesahihan surat itu yang melantik bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya ad-hoc.

Gopal Sri Ram

Sri Ram ialah timbalan pendakwa raya (DPP) utama dalam perbicaraan rasuah terhadap Rosmah, yang pada 18 Februari diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membela diri dalam kes rasuah.


Pada 8 April, Mahkamah Rayuan mengizinkan rayuannya untuk mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram, setelah pihak pendakwaan mengizinkan memberikannya kepada pasukan pembelaan.

Rosmah merayu keputusan Mahkamah Tinggi tahun lalu menolak permohonannya untuk mengakses salinan surat pelantikan Sri Ram.

Di samping permohonan pembatalan perbicaraan sekarang, pasukan peguam Rosmah juga telah memohon Mahkamah Tinggi untuk membatalkan kesahihan pelantikan Sri Ram sebagai DPP ad hoc.

Menurut notis usul untuk membatalkan perbicaraan rasuahnya, Rosmah memohon antara lain, pengisytiharan mahkamah bahawa prosiding jenayah Mahkamah Tinggi, yang telah berlangsung sejak 15 Nov 2018, adalah batal dan tidak sah serta satu bentuk perbicaraan silap (mistrial).


Dia memohon pengisytiharan mahkamah bahawa pelantikan Sri Ram sebagai DPP untuk kes rasuah solarnya, bawah Seksyen 376 (3) dan 379 Kanun Prosedur Jenayah melalui surat fiat, adalah tidak sah, di luar aturan dan cacat menurut undang-undang.

Rosmah juga memohon pengisytiharan mahkamah agar dia dilepaskan dan dibebaskan daripada semua tuduhan yang dihadapinya dalam kes rasuah solar.

Perbicaraan terhadap Rosmah, 69 melibatkan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Rasuah terbabit didakwa diterima menerusi bekas pegawai khasnya Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.


Jika didapati bersalah, Rosmah berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda daripada nilai suapan.

Dalam pertuduhan pertama, dia dituduh secara tidak jujur meminta suapan bagi dirinya sebanyak RM187,500,000, iaitu 15 peratus daripada nilai kontrak projek solar itu daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Dia dituduh membuat kesalahan itu melalui bekas pegawai khasnya Rizal Mansor.

Bagi pertuduhan kedua pula, Rosmah dituduh secara tidak jujur, menerima RM1,500,000 untuk dirinya dari Saidi atas tujuan sama di ‪No. 11, Jalan‬ ‪Langgak‬ ‪Duta,‬ ‪Taman‬ Duta‬ pada 7 September 2017.

Pada 10 April 2019, Rosmah dituduh sekali lagi di Mahkamah Sesyen atas dakwaan menerima suapan RM5 juta dari Saidi melalui Rizal untuk membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

-MalaysiaKini