Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

"Pecatlah, saya boleh buat kerja lain" -Tajuddin


PETALING JAYA: “Nak pecat, pecatlah. Apa isunya?,” itu reaksi awal Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, mengenai pemecatannya sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd, berkuat kuasa serta-merta.

“Terima kasihlah, Saya boleh membuat kerja lain,” kata Tajuddin, menurut laporan Malay Mail.

Tajuddin berkata, beliau masih belum menerima surat pemecatan itu yang ditandatangani Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Salinan surat itu bertebaran di media sosial dan jurucakap Kementerian Kewangan mengesahkan kepada FMT, kesahihannya.

Tajuddin dilantik sebagai Pengerusi Prasarana pada 11 Mei tahun lalu.


Pemecatan beliau menyusul sidang medianya semalam mengenai kemalangan tren LRT dua hari lalu yang mengakibatkan 213 penumpang cedera, dengan lebih daripada 60 dihantar ke hospital.

Tajuddin dikritik hebat atas beberapa komen dibuatnya pada sidang media itu. Beberapa kenyataan dikritik pelbagai pihak sebagai meremehkan beban mangsa dan nahas itu sendiri.

Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam (4PAM) menyeru Tajuddin meletak jawatan susulan kemalangan itu, dengan berkata, ketiadaan kenyataan segera daripada beliau berhubung kejadian itu disifatkan sebagai tidak menghormati penumpang.

Petisyen dalam talian menggesa beliau berundur turut menjadi tular.

Tajuddin turut dihentam warganet kerana bersikap tidak sensitif dan “kurang ajar” semasa sidang medianya, dengan banyak pihak menuntut peletakan jawatannya.

Pada sidang media itu, beliau menolak desakan meletak jawatan dan menuduh media cuba menimbulkan provokasi terhadapnya.

-FMT