Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

COVID-19: Indonesia beri amaran kepada rakyatnya, belajar dari kegagalan Malaysia dan India


Kementerian Kesihatan Indonesia menjadikan kegagalan kawalan kes Covid-19 di Malaysia dan India sebagai contoh untuk menggesa rakyat mereka supaya duduk rumah dan berhati-hati dengan wabak itu.

Amaran itu muncul selepas keadaan penularan wabak di negara itu kian stabil menjelang Hari Raya, manakala Malaysia dan India kini mengalami peningkatan kes.

“Belajar dari India dan Malaysia, kita tentunya tidak ingin Indonesia mengalami hal yang sama.

“Masyarakat diimbau untuk semakin ketat menerapkan protokol kesihatan 3M dan mengurangi mobilitas ke luar rumah apabila tidak mendesak,” ciapnya di akaun Twitter kementerian negara itu.


3M merujuk kepada SOP pemakaian pelitup muka, cuci tangan dan penjarakan fizikal.

Ciapan itu sebahagian siri hantaran yang menyatakan amaran bahaya varian Covid-19 yang kini menjangkiti Indonesia, yang digelar varian B.1.1.7, B.1.351 dan B.1.617.1.

“Ketiga varian ini diperkirakan lebih cepat menular dibandingkan varian sebelumnya. Hal ini terlihat dari beberapa negara yang telah mengesahkan kenaikan kes seiring ditemukannya varian baru ini di negaranya,” jelasnya.

Ciapan itu turut memaparkan poster jurucakap menteri kesihatan negara itu, Dr Siti Nadi Tarmizi yang menyatakan “dua faktor penyebab lonjakan kes di Eropah dan India adalah kerana adanya mobiliti (pergerakan) tinggi dan varian baru."

Dia turut menggesa rakyat Indonesia supaya kekal di rumah sewaktu Hari Raya Aidilfitri dan tidak pulang ke kampung.


Petang tadi, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat tiga kes Covid-19 yang mempunyai varian B.1.1.7 dikesan semalam.

Varian itu dikenalpasti di UK. Sementara itu, 48 kes varian B.1.351 turut dikesan. Ia pertama kali dikenalpasti di Afrika Selatan.

Amat membimbangkan, vaksin AstraZeneca hampir tidak mampu melawan varian dari segi mencegah penyakit ringan hingga sederhana. Keberkesanan vaksin dalam mencegah penyakit teruk atau kematian yang disebabkan oleh varian tersebut juga tidak diketahui.

Mengenai varian B.1.617.1 yang menyebabkan peningkatan kes harian di India, Noor Hisham berkata terdapat satu kes import dikesan namun telah dikuarantin saat memasuki negara ini. Kesan varian itu masih dikaji.



Kes Covid-19 di Indonesia telah meningkat antara 4,000 hingga 6,000 kes setiap hari sejak akhir Mac, manakala kes di Malaysia hari ini pada 4500 kes.

Melihat saiz populasi, Malaysia mempunyai 100 kes daripada sejuta penduduk manakala Indonesia mempunyai 18 kes daripada sejuta penduduknya.

Kes di India lebih teruk susulan jumlah kes sebanyak purata 400,000 kes setiap hari dan kian meningkat.

India juga kurang menguji populasinya, dengan lebih daripada 20 peratus ujian memberikan hasil positif. Ini bermaksud jumlah kes yang sebenarnya mungkin jauh lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

-MalaysiaKini