MCA dulu pun ekstrim, terpulang kepada UMNO untuk terima DAP -Tun M


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tidak menolak bahawa Umno boleh menjalinkan hubungan dengan DAP, memandangkan parti itu sekian lama bekerjasama dengan MCA.

Katanya, MCA yang bersama-sama Umno dalam BN juga pernah dilihat "melampau" suatu ketika dulu.

“Terpulang kepada Umno.

"Umno sudah kerja dengan MCA dan MCA juga pada satu ketika ekstrem,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan satu forum ‘Ke mana hala tuju Finas’ di Ampang hari ini.


Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Tajuddin Abd Rahman yang tidak mustahil untuk parti itu bekerjasama dengan DAP di masa depan, jika parti itu menjadi lebih "sederhana".

Menurut Free Malaysia Today hari ini, Tajuddin bagaimanapun menyatakan kesukaran untuk kerjasama dua parti itu kerana imej DAP di kalangan orang Melayu.

Mengulas lanjut mengenai pengalaman bekerjasama dengan DAP menerusi PH, Mahathir berkata parti itu perlu sedar bahawa Malaysia adalah negara yang berbilang kaum.

"Saya telah bekerjasama dengan DAP dan parti itu ada kala ekstrem tapi kita boleh bersama-sama dengan mereka.


"DAP juga perlu sedar bahawa (Malaysia) negara berbilang kaum. Anda tak boleh kerja untuk kaum sendiri sahaja," katanya lagi.

Untuk rekod, DAP konsisten menegaskan perjuangan parti itu adalah untuk seluruh rakyat Malaysia dan bukan berasaskan kaum.

Antara lain parti itu membangkitkan keanggotaannya yang tidak berasaskan kaum.

Spekulasi kerjasama antara Umno dan DAP pernah timbul di tengah-tengah konflik politik di Perak akhir tahun lalu, susulan penyingkiran Ahmad Faizal Azumu daripada jawatan menteri besar.

Ditanya berhubung keretakan hubungan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) selepas Umno memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15, Mahathir berkata hal seperti itu biasa dalam politik.

“Di Malaysia ada terlalu banyak parti dan setiap parti itu ada masalah perpecahan,” katanya.

MalaysiaKini

Join our Telegram Channel
Telegram


MCA dulu pun ekstrim, terpulang kepada UMNO untuk terima DAP -Tun M MCA dulu pun ekstrim, terpulang kepada UMNO untuk terima DAP -Tun M Reviewed by Tun Carlos on April 05, 2021 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.