Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Lelaki rentas negeri jumpa teman wanita berjaya ditangkap polis


SEREMBAN: Seorang lelaki cuba melarikan diri dengan memandu kenderaannya secara melulu sebelum terbabas dalam kejadian kejar mengejar dengan pihak polis di Jalan Persiaran Utama S2/1, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, pemeriksaan mendapati suspek seorang lelaki berusia 29 tahun yang datang dari Melaka didapati melakukan kesalahan merentas negeri tanpa permit pergerakan sah untuk berjumpa teman wanitanya di Seremban.

“Dalam kejadian lebih kurang pukul 4 petang semalam, Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban yang membuat rondaan di Bukit Chedang telah melihat sebuah kereta jenis Hyundai berwarna hitam dinaiki suspek dan teman wanitanya berusia 21 tahun dalam keadaan mencurigakan.


“Pemandu kenderaan (suspek) tersebut didapati tidak berhenti apabila diarahkan berhenti untuk pemeriksaan dan cuba melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Said, pihak polis terpaksa mendapatkan bantuan daripada tiga lagi unit MPV untuk mengejar kenderaan suspek.

“Ketika cuba melarikan diri suspek didapati telah melanggar lampu merah, membuat pusingan U tanpa kebenaran dan melanggar cermin sisi sebuah kereta lain.



“Kenderaan suspek akhirnya terbabas dan berjaya ditahan di Jalan Persiaran Utama S2/1, Seremban,” katanya.


Jelas Mohd. Said, selain itu ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine dan direman selama dua hari sehingga esok manakala teman wanitanya direman selama sehari untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, suspek lelaki tersebut disiasat di bawah Seksyen 342 Akta Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana melakukan pergerakan merentas negeri tanpa kebenaran, Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas polis.

Dalam pada itu, Mohd. Said memberi peringatan dan menegaskan orang ramai supaya patuh dengan arahan kerajaan demi menjaga keselamatan. 

“Orang ramai perlu sedar tentang SOP serta undang-undang yang digubal ada kebaikannya, beri kerjasama sekiranya diminta oleh penjawat awam tanpa menghalang tugas mereka,” katanya lagi.

 – UTUSAN