Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Sukar menang PRU15 jika sendirian, UMNO sanggup bekerjasama dengan DAP? soal Zahidi


KANGAR : UMNO berdepan kesukaran dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika memilih untuk bergerak sendirian khususnya tanpa kerjasama parti-parti di dalam Perikatan Nasional (PN) seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

Malah hasrat UMNO atau Barisan Nasional (BN) untuk menang majoriti dalam pilihan raya tersebut tampak sukar tanpa kerjasama dengan parti-parti politik lain.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, ramai berpandangan UMNO sukar menang jika bersendirian dan perkara tersebut ada asasnya.


Soalnya, jika UMNO tidak bekerjasama dengan Bersatu dan Pas, adakah parti itu sanggup bekerjasama dengan DAP ?.

“UMNO sudah pun menetapkan pendirian sebelum ini ’No DAP, No Anwar’. Isu yang berlaku ketika ini adalah perbezaan pendapat sahaja.

“Kalau boleh kita mahu perbincangan atau musyawarah serta muafakat antara parti-parti ini diteruskan. Apa yang penting lagi adalah untuk memastikan kerajaan pada hari ini terus dikekalkan,” katanya ketika ditemui pada Program Jelajah Malaysia Prihatin di Dewan Kemas Alor Tampang, Beseri di sini hari ini.

Seterusnya beliau berharap, perbincangan oleh Majlis Tertinggi UMNO berhubung soal kerjasama tersebut dapat diteruskan dengan baik supaya dapat mencapai kata sepakat yang memberi manfaat kepada semua.


“Kita tidak mahu dalam pergolakan ini akan berlaku seperti peribahasa ‘jong pecah yu kenyang’ iaitu dalam keadaan kacau atau hura-hara tentu ada orang yang mendapat keuntungan.

“Sebaliknya perkara ini harus dikendalikan seperti ‘menarik rambut di dalam tepung’ rambut jangan putus, tepung jangan berserak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu memberitahu,
sehingga kini, sebanyak 40,000 penduduk di negeri ini telah mendaftar bagi pengambilan vaksin Covid-19.

“Program jelajah yang diadakan tersebut bertujuan untuk memberi penerangan kepada orang ramai terutamanya dari kawasan luar mengenai kepentingan mengambil vaksin tanpa rasa was-was kerana ianya adalah diuji selamat dan juga halal,” katanya. -UTUSAN ONLINE