Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Penangguhan Undi 18 amatlah mengecewakan, tidak boleh diterima -KJ


KUALA LUMPUR – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kecewa dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan pelaksanaan Undi 18 sekali gus tidak menerima alasan yang dikemukakan oleh agensi berkenaan.

Ahli Parlimen Rembau itu menganggap alasan SPR penangguhan pelaksanaan Undi 18 sebagai tidak munasabah.

“Kenyataan SPR semalam berkenaan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik amatlah mengecewakan serta sama sekali tidak boleh diterima. Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi Undi 18 dan pendaftaran automatik telah mendapat sokongan penuh kesemua Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Julai 2019.


“Menurut kenyataan SPR ini, pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik hanya dapat dibuat menjelang 1 September 2022, iaitu penangguhan melebihi satu tahun daripada sasaran yang ditetapkan sebelum ini iaitu pada Julai tahun ini.

“Kenyataan terbaharu SPR ini juga jelas sekali bercanggah dengan kenyataan Pengerusi SPR pada 7 Jun tahun lalu yang menyatakan persiapan bagi pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik termasuk pindaan kepada undang-undang serta peraturan pilihan raya sedia ada serta penyediaan sistem dan infrastruktur akan diselesaikan selewat-lewatnya pada Julai 2021,” tegas Khairy.

Kata beliau, harus diingatkan, kenyataan SPR pada tahun lalu ini hanyalah ulangan kepada kenyatan yang dikeluarkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), mendiang Datuk V.K Liew pada Oktober 2019 yang telah menetapkan sasaran yang sama iaitu Julai 2021 sebagai permulaan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik.

Menurut Khairy, alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menjejaskan perancangan dan persiapan SPR juga adalah sesuatu yang tidak munasabah memandangkan PKP telahpun dilaksanakan sejak lebih setahun yang lalu.


” Malah, jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) di Dewan Rakyat pada bulan November tahun lalu juga masih mengekalkan sasaran Julai 2021 bagi pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik ini. Tidak sampai 5 bulan selepas jawapan di Dewan Rakyat, SPR secara tidak semena-mena mengumumkan penangguhan pelaksanaannya kepada lebih satu tahun iaitu September 2022 berbanding Julai 2021.

“Kenyataan SPR berkenaan gerak kerja bagi tujuan libat urus bersama parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) juga menimbulkan tanda tanya. SPR seharusnya memberi penjelasan lanjut berkenaan program libat urus ini memandangkan proses ini bukan lagi perkara berbangkit kerana Undi 18 ini telahpun dipersetujui di peringkat tertinggi proses membuat undang-undang dalam negara ini iaitu Parlimen Malaysia. Proses libat urus juga sepatutnya boleh berlangsung sepanjang masa tanpa sedikitpun perlu menjejaskan tempoh masa yang telah diumumkan sebelum ini.

“Penurunan umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun serta pendaftaran automatik bukanlah hasrat kerajaan terdahulu semata-mata malah ia telah mendapat persetujuan kesemua parti-parti politik termasuklah menerusi Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang telah membuat pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan 2/3 majoriti Dewan,” kata Khairy. 

–SuaraTV