Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

DAP buat laporan polis terhadap Muhyiddin


PETALING JAYA: DAP berkata, ia akan membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Kabinet kerana tidak membolehkan Parlimen bersidang dalam tempoh darurat walaupun Yang di-Pertuan Agong memperkenankannya.

Setiausaha agung parti itu Lim Guan Eng berkata, Muhyiddin dan Kabinet pimpinannya “berdegil untuk tidak patuh” kepada Agong yang berkenan membenarkan Parlimen bersidang semula.

“Keengganan itu bukan sahaja merupakan pengkhianatan terhadap demokrasi, tetapi juga perbuatan ‘les majeste’ (derhaka) kepada Agong,” katanya dalam kenyataan.


Ahli Parlimen Bagan itu turut membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan berhubung kenyataannya mengenai penangguhan Parlimen dengan berkata, ia tidak masuk akal.

“Takiyuddin tidak jujur dengan mendakwa peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkait panggilan dan pembubaran Parlimen tidak berkesan apabila perintah darurat berkuat kuasa di bawah Perkara 14(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021,” katanya.

Lim berkata, Takiyuddin memilih untuk mengelirukan rakyat dengan meminggirkan perkataan penting dalam ordinan berkenaan berkaitan “tarikh yang difikirkan sesuai oleh Agong”.


“Oleh sebab Agong telah menitahkan bahawa walaupun perintah darurat berkuat kuasa, Parlimen boleh bersidang pada tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat perdana menteri. Tidak ada sebab untuk perdana menteri tidak menetapkan tarikh lebih awal.

“Takiyuddin perlu berhenti bermuslihat dan mengelak dengan mengetepikan Agong dan juga rakyat.”

Beliau berkata, Takiyuddin sebaliknya harus menyokong desakan majoriti wakil rakyat pembangkang dan juga kerajaan supaya sidang Parlimen disambung semula.

“Dakwaan Takiyuddin bahawa kerajaan tidak mahu mendedahkan Ahli Parlimen kepada risiko kerana ramai dalam kalangan mereka termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi dengan 77 orang berusia antara 61 ke 69 tahun, 19 antara 70 ke 79, dan empat berusia 80 ke atas adalah suatu penghinaan. Apakah gunanya vaksinasi kalau begitu?”


Beliau berkata, tidak ada seorang Ahli Parlimen dijangkiti Covid-19 di Parlimen, tetapi di luar.

“Tidak ada sebab untuk menangguhkan sidang Parlimen melainkan bagi menjamin kerajaan dan perdana menteri terus memerintah kerana tidak yakin beliau mendapat sokongan majoriti di Parlimen,” katanya.

Takiyuddin sebelum ini berkata, kenyataan Istana Negara bertujuan menjelaskan bahawa Kabinet bertanggungjawab menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung tarikh Parlimen akan bersidang.

Beliau juga berkata, oleh sebab Agong boleh menggubal undang-undang di bawah Ordinan Darurat, maka Parlimen tidak perlu bersidang.

Agong berkata, Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat yang dijadualkan tamat pada penghujung Ogos pada tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat perdana menteri.

-FMT