Tommy Thomas dedah Mahathir dan Guan Eng tak layan cadangannya untuk tangkap Jho Low


Bekas peguam negara (AG) Tommy Thomas, dalam buku memoir terbarunya, menyatakan bahawa dia pernah mencadangkan ganjaran diberi kepada pihak yang menangkap ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.

Thomas mengatakan dia tidak yakin Jho Low mudah ditangkap kerana menurutnya, untuk melepaskan diri, ahli perniagaan itu akan merasuah menggunakan sejumlah besar dana 1MDB yang didakwa dicurinya.

Oleh yang demikian, Thomas mengatakan dia mengusulkan agar diberikan sejumlah ganjaran kepada penangkapan Jho Low, tetapi kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan polis ketika itu tidak menyambut baik cadangannya.


"Saya mengesyorkan agar Malaysia menawarkan ganjaran untuk penangkapannya dan bawa dia untuk diadili.

"Lagipun, begitulah Jesse James ditangkap pada abad ke-19.

"Pihak berkuasa kolonial Inggeris juga menawarkan ganjaran pada pertengahan 1950-an untuk penangkapan Chin Peng, pemimpin Parti Komunis Malaya," katanya dalam memoirnya bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.

Thomas mengatakan undang-undang tidak melarang pembayaran wang kepada pemberi maklumat atau pemecah rahsia yang memberikan maklumat yang membawa kepada penangkapan seorang penjenayah yang berdepan tuduhan.


"Saya mengemukakan cadangan saya kepada perdana menteri, menteri kewangan dan ketua polis negara, tapi sayangnya ia tidak mendapat sambutan yang baik," katanya.

Pada 2019, Mohamad Fuzi Harun, yang merupakan ketua polis negara ketika itu kemudian secara terbuka mengemukakan idea berkenaan, namun ia tidak pernah dilaksanakan.

Penggantinya Abdul Hamid Bador menyorot bahawa pihak berkuasa asing tidak bekerjasama dalam usaha memburu Jho Low.

Abdul Hamid yang ketika itu mengatakan antara alasan yang diberikan adalah Jho Low menjalani pembedahan plastik dan kini "menyerupai beruang".

-MalaysiaKini




Join our Telegram Channel
Telegram


Tommy Thomas dedah Mahathir dan Guan Eng tak layan cadangannya untuk tangkap Jho Low Tommy Thomas dedah Mahathir dan Guan Eng tak layan cadangannya untuk tangkap Jho Low Reviewed by Tun Carlos on February 01, 2021 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.