Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Perbicaraan kes saman Vivy Yusof ke atas seorang netizen bermula 11 Ogos


Kes saman Datin Vivy Yusof ke atas seorang netizen atas dakwaan memfitnah pengasas FashionValet and dUCK Group itu berhubung isu bantuan golongan B40 dan M40 yang terjejas oleh penularan Covid-19 ditetapkan untuk perbicaraan bermula 11 Ogos ini.

Peguam Mohd Syakirin Syazwan yang mewakili Alia Najwa Hassannudin - selaku defendan dalam kes saman itu - berkata mahkamah menetapkan 11 dan 12 Ogos untuk perbicaraan.

"Seramai lima saksi defendan termasuk anak guam saya akan memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu manakala plaintif (Vivy) akan mengemukakan tiga orang saksi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.


Terdahulu Mohd Syakirin terbabit dalam pengurusan kes secara dalam talian di hadapan hakim Rohani Ismail. Ia turut dihadiri peguam Pauling Hee mewakili Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof.

Pada 15 Jun tahun lepas Vivy, 34, memfailkan saman menerusi Tetuan Foong Cheng Leong & Co dengan menamakan Alia, 29, selaku defendan tunggal.

Berdasarkan penyataan tuntutan, Vivy berkata pada 28 Mac tahun lepas dia menerbitkan rakaman video dalam akaun Instagramnya berhubung perbualan empat usahawan berkaitan status ekonomi akibat Covid-19 dan Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Perbualan Vivy Yusof dengan rakan usahawan yang menerima kecaman netizen


Vivy mendakwa pada 30 Mac tahun sama, defendan menerbitkan beberapa penyataan berkenaan plaintif dalam Facebook dan Instagram milik defendan dan secara salah menyatakan bahawa plaintif mempersoalkan tindakan kerajaan membantu golongan B40 dan M40 sedangkan mereka tidak memberi apa-apa sumbangan kepada ekonomi negara.

Usahawan wanita itu mendakwa penyataan-penyataan fitnah tersebut antara lain membawa maksud bahawa plaintif tidak bersimpati terhadap golongan B40 dan M40, bersikap angkuh, mementingkan diri sendiri dan tidak profesional serta hanya mementingkan keuntungan.

Kata Vivy, penerbitan penyataan-penyataan fitnah itu turut menyebabkan pelancaran petisyen di laman web sekitar 1 April tahun lepas bagi mendesak plaintif dilucutkan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM kerana menghina golongan berkenaan.

Petisyen tersebut ditandatangani lebih 230,000 pengguna Internet sejak dilancarkan.


Ikon fesyen itu mendakwa surat tuntutan telah dikeluarkan kepada defendan dan menuntut supaya beliau berhenti menerbitkan sebarang penyataan fitnah terhadap plaintif di laman sosial dan plaintif juga mendakwa defendan membalas surat tuntutan melalui aplikasi Facebook tetapi gagal mematuhi kesemua kehendak plaintif.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, suatu perintah supaya defendan memadamkan penerbitan penyataan-penyataan fitnah tersebut selain memohon defendan menerbitkan suatu permohonan maaf terhadap plaintif.

Dalam penyataan pembelaan difailkan pada 20 Okt tahun lepas, defendan mendakwa bahawa penyataan yang dimuat naik olehnya adalah berlandaskan fakta sebenar daripada posting plaintif sendiri dan ia berunsurkan kepentingan awam selain defendan juga menafikan sebarang elemen fitnah di dalam penyataan yang diterbitkannya.

- Bernama