Pelajar berusia 65 tahun duduki SPM


SEREMBAN: Usia bukan penghalang untuk menuntut ilmu. Itu dibuktikan seorang warga emas Salman Ahmad, yang juga bekas timbalan pengarah Tourism Malaysia.

Meskipun usianya sudah menjangkau 65 tahun, Salman mempunyai keazaman yang tinggi untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) buat pertama kali hari ini.

Salman antara 645 calon persendirian daripada keseluruhan 16,554 jumlah calon SPM 2020 di Negeri Sembilan yang menduduki peperiksaan itu bermula hari ini.

Beliau yang bersara pada 2012 berkata, keputusan itu dibuat kerana ingin membuktikan kepada masyarakat khususnya golongan muda bahawa usia bukan penghalang untuk menimba ilmu dan memperoleh kejayaan.


“Dulu saya ambil peperiksaan Malaysia Certificate of Education (MCE) pada 1973, semua subjek dalam bahasa Inggeris. Kemudian saya melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara dalam bidang pentadbiran awam. Sekarang saya ingin cabar diri saya untuk ambil SPM pula.

“Saya juga ingin beri contoh dan motivasi kepada anak cucu saya. Usia bukan penghalang untuk belajar, menuntut ilmu adalah proses sepanjang hayat,” katanya kepada pemberita selepas menduduki peperiksaan bahasa Melayu kertas 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V.

Salman berkata, keinginan untuk menduduki peperiksaan awam itu timbul sejak tahun lepas, namun terpaksa menangguhkan hasratnya itu susulan penularan wabak Covid-19.


Anak jati Negeri Sembilan itu turut berkongsi persediaan bagi menghadapi SPM kali ini, beliau membeli beberapa buku ulang kaji sejak tahun lepas dan adiknya yang bertugas sebagai guru turut memberi tunjuk ajar serta mengikuti pembelajaran secara dalam talian jika ada kelapangan.


“Keluarga saya banyak beri sokongan dan galakan. Saya tidak malu, saya tidak hairan apa-apa orang kata, kata orang tua belajarlah sampai ke negara China dan dari buaian hingga ke liang lahad,” katanya.

Dalam pada itu, bapa dua anak itu berkata selain mengambil subjek bahasa Melayu sebagai peringkat permulaan, beliau mengambil dua lagi mata pelajaran iaitu bahasa Inggeris dan sejarah selain berhasrat mengambil subjek lain tahun depan sekiranya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM 2020.

Malaysia mencatat sejarah apabila seramai 401,105 calon di seluruh negara menduduki peperiksaan SPM 2020 dalam norma baharu ketika negara masih “berperang” dengan Covid-19 yang dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Hari pertama peperiksaan dimulakan dengan subjek bahasa Melayu kertas 1 pada 8 pagi dan bahasa Melayu kertas 2 pada 2 petang dengan sebanyak 48,014 pengawas peperiksaan ditugaskan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya SOP. 

-FMT

Join our Telegram Channel
Telegram


Pelajar berusia 65 tahun duduki SPM Pelajar berusia 65 tahun duduki SPM Reviewed by Tun Carlos on February 22, 2021 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.