Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Laporan fahaman ‘Ibu Yati’ telah dihantar kepada Majlis Raja-Raja


RESOLUSI Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam kali ke-118 berhubung fahaman ‘Ibu Yati’ telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifili Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata resolusi itu dihasilkan selepas mesyuarat mendengar pembentangan laporan mengenai fahaman terbabit oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 17 Feb lalu.

“Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada JAIS selaku pihak berkuasa agama negeri atas kerjasama yang utuh dalam memelihara akidah umat Islam.


“Kerajaan persekutuan dengan kerjasama pihak berkuasa agama negeri sentiasa berganding bahu dalam memastikan isu-isu membabitkan penyelewengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dapat diatasi dengan sebaiknya,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Menurutnya hantaran itu dimuat naik bagi memberi sedikit perkembangan berhubung fahaman terbabit untuk makluman masyarakat, khususnya yang beragama Islam.

JAIS sebelum ini mengesahkan telah memanggil Ibu Yati atau nama sebenarnya Wan Norhayati Wan Alias bagi membantu siasatan berhubung fahaman Islam Melayu yang dikaitkan dengan wanita tersebut.


Fahaman itu menjadi perbualan warga maya baru-baru ini selepas tersebar rakaman video yang memaparkan seorang wanita dipercayai Ibu Yati melafazkan iLa Ha iLa Ra iLa Ma dan aku Melayu sebanyak tujuh kali sebelum kemudiannya membuat paluan gong dalam sebuah upacara.

Ia didakwa ajaran sesat terbaharu di negara ini.

Wan Noor Hayati bagaimanapun menafikan perkara itu dan menyifatkan ia tuduhan jahat dan membuat laporan polis. -UTUSAN