Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

14 peniaga durian tak jujur dikompaun RM2,600


KUALA LUMPUR: Seramai 14 peniaga durian dikenakan kompaun RM2,600 menerusi 311 pemeriksaan Ops Duri 2.0 selama tiga hari bermula 22 Februari lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata sembilan tindakan kompaun dilakukan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) dan bakinya mengikut Akta Timbang Sukat 1972 (ATS 1972).

Beliau berkata, Ops Duri 2.0 diperkasakan bagi melindungi pengguna dan meningkatkan etika peniaga durian melalui pemeriksaan bagi memastikan pematuhan aspek tanda harga, alat timbang dan sukat yang digunakan untuk perdagangan.


Katanya, pemeriksaan juga dilakukan bagi melihat pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) perdagangan pengedaran dan SOP am Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Ops Duri 2.0 akan dikuatkuasakan sehingga 22 Mac ini oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri dan cawangan.

"Peniaga durian di bawah pelaksanaan Ops Duri 2.0 tertakluk di bawah AKHAP 2011 dan ATS 1972 dan sekiranya didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Bagi kesalahan mengikut Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020, amaun denda yang boleh dikenakan bagi perseorangan ialah RM50,000, manakala bagi syarikat atau perbadanan sejumlah RM 100,000.

KKKK
KKKKKKKKKKKKK

Untuk kesalahan menggunakan atau memiliki timbang, sukat atau alat timbang yang tidak ditentusahkan, amaun denda bagi perseorangan atau syarikat ialah RM40,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Rosol melakukan lawatan pemeriksaan bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi meninjau aktiviti urus niaga durian di sekitar Petaling Jaya, Selangor.

Lawatan itu dilakukan bagi memeriksa pematuhan peniaga durian termasuk sama ada tanda harga diletakkan dengan jelas, mempamerkan jenis durian serta menggunakan alat timbang yang sesuai.

Rosol berkata, sebanyak 1,252 pemeriksaan dilakukan pada Ops Duri 1.0 membabitkan 38 kompaun dengan jumlah nilai kompaun sebanyak RM13,900.


"KPDNHEP mengalu-alukan kerjasama diberikan peniaga untuk terus menjalankan aktiviti perniagaan secara jujur, beretika dan tidak mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga mahupun timbangan.

"Peniaga disarankan menggunakan alat timbangan yang bersesuaian dalam urus niaga penjualan durian," katanya.

Rosol berkata, kepentingan pengguna dan ekosistem peniaga adalah keutamaan KPDNHEP dan sokongan serta kerjasama semua pihak amat diperlukan.

-BHonline