Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Program vaksinasi dijangka selesai pada suku pertama 2022 -PM


Hampir 27 juta atau lebih 80 peratus penduduk Malaysia dijangka menerima vaksin Covid-19 menjelang suku pertama tahun depan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata bekalan vaksin pertama dijangka diterima pada penghujung Februari ini, dengan kumpulan pertama penerima vaksin pada awal Mac dan program vaksinasi ini berjalan secara berperingkat sehinggalah tempoh keseluruhannya selama 12 bulan.

"Perancangan program vaksinasi kita adalah on-track (mengikut jadual). Kerajaan telah menandatangani tiga perjanjian dengan syarikat pengeluar vaksin dan dijangka menerima bekalan vaksin yang pertama pada penghujung Februari nanti.


"Melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 yang telah ditubuhkan, kerajaan akan memastikan ketelusan perolehan vaksin dan Program Imunisasi Kebangsaan diberi perhatian utama.

“Sebanyak RM3 bilion telah diperuntukkan khusus bagi perolehan ini," katanya dalam pengumuman khas pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan serta platform media sosial hari ini.

Perdana menteri berkata garis panduan dan kaedah penentuan bagi individu yang perlu menerima vaksin akan dihebahkan kelak.


Dalam pada itu, beliau menegaskan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam telah memutuskan hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan.

"Menentukan kemaslahatan komuniti bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak," jelas beliau.

- Bernama