Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kerajaan Muhyiddin hilang majoriti di Dewan Rakyat, ramai lagi akan tarik sokongan

Gambar: Berita Harian

PETALING JAYA: Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin hilang majoritinya dalam Dewan Rakyat, apabila Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub menarik balik sokongan terhadap beliau.

Lebih ramai lagi Ahli Parlimen Umno dijangka menamatkan sokongan mereka untuk Muhyiddin yang dilantik menjadi perdana menteri 10 bulan lalu.

Bagaimanapun, kehilangan majoriti oleh kerajaan PN belum cukup untuk blok pembangkang menubuhkan kerajaan baharu, akibat pertelagahan sesama mereka.


Blok pembangkang merangkumi sokongan 109 Ahli Parlimen ketika ini, namun dibelenggui perbalahanan berpanjangan antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan pengasas Pejuang Dr Mahathir Mohamad.

Persoalan sama ada kehilangan majoriti PN akan mencetuskan pilihan raya umum sebagaimana yang diingini Umno tidak jelas, kerana ia memerlukan perkenan Istana.

Keputusan Jazlan menamatkan sokongan terhadap Muhyiddin bermaksud PN mempunyai sokongan 111 ahli parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.


Dua kerusi parlimen masih kosong selepas Ahli Parlimen Batu Sapi (Warisan) dan Gerik (BN) meninggal dunia dan pilihan raya kecil ditangguhkan kerana pandemik Covid-19.

Hakikat bahawa PN kurang 1 kerusi parlimen untuk mencapai majoriti mudah 112 di Dewan Rakyat meletakkan Muhyiddin dalam keadaan tertekan.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz, memberi amaran bahawa lebih ramai ahli parlimen Umno berkemungkinan mengikut contoh Jazlan sehingga memaksa Muhyiddin merujuk kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk menentukan kedudukannya.


“Kita tunggu dan lihat. Lebih ramai ahli Parlimen (Umno) mungkin menarik sokongan mereka. Kita tunggu dan lihat,” kata Nazri.

“Selepas itu Muhyiddin mesti menghadap Yang Di-pertuan Agong,” kata bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi itu kepada FMT.

Nazri merujuk kepada peruntukan perlembagaan bahawa perdana menteri yang kehilangan sokongan di Dewan Rakyat mesti meletak jawatan bersama jemaah menterinya.


Sokongan untuk Muhyiddin dijangka menyusut lagi dalam tempoh terdekat susulan desakan kuat akar umbi Umno untuk menamatkan kerjasama parti itu dengan PPBM pimpinan Muhyiddin yang menjadi tunjang kerajaan PN.

Umno akan mengadakan perhimpunan agung akhir bulan ini untuk memutuskan sama ada menarik balik sokongan rasminya terhadap Muhyiddin, sekali gus mencetuskan kemungkinan pilihan raya umum diadakan.

Selain Jazlan, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah turut mengumumkan penarikan sokongannya terhadap kerajaan Muhyiddin sebelum ini. -FMT