Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Biar frontliners boleh bernafas, jangan benarkan sektor yang cetus kluster terbesar beroperasi -Najib


Bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan mengapa sektor yang mencetuskan kluster jumlah terbesar kes Covid-19 dibenarkan kerajaan untuk beroperasi ketika PKP.

"Yang mencetuskan bahagian terbesar jumlah kes serta kluster Covid semasa PKPB gelombang ketiga: sektor pengilangan, pembuatan dan tapak pembinaan."ujar Najib

"Yang dibenarkan terus beroperasi semasa PKP amat ketat untuk kononnya membendung gelombang ketiga:  sektor pengilangan, pembuatan dan sektor pembinaan juga?"

"Apa beza SOP PKP dengan SOP PKPB bagi sektor-sektor itu?"


"Jika serious untuk mengawal Covid, lebih elok sektor-sektor ini dihentikan sementara untuk 2 minggu PKP 2.0 fasa pertama sahaja agar PKP tidak dilanjutkan berulang kali."

"Sistem kesihatan Malaysia dah jauh terlebih kapasiti. Kita bagi henti sekejap sektor-sektor yang menyumbang kes/kluster terbesar buat sementara sahaja."

"Biar sistem kesihatan dan frontliners boleh bernafas seketika agar sistem kesihatan kita ada peluang pulih"

Dalam hantaran lain di Facebook, Najib mempersoalkan apakah jualan perabot termasuk dalam perkhidmatan perlu (essential service).


"Semua gedung IKEA seluruh negara dibenar terus beroperasi dalam PKP ini?

"Malah kanak-kanak dan warga emas dibenarkan berkunjung walaupun tidak digalakkan.

"Adakah penjualan perabot termasuk dalam perkhidmatan perlu (Essential service) tapi ramai peniaga kecil lain tidak dibenarkan meniaga pula?" katanya.

Najib berkata kerajaan perlu berlaku adil kepada semua pihak ketika peniaga kecil dalam sektor tertentu tidak dibenarkan beroperasi semasa tempoh PKP yang dijadual berakhir 26 Jan ini.

"Kita mesti adil pada semua. Biarlah PKP 2.0 fasa pertama untuk 2 minggu ini lebih tegas agar ia dapat mencapai matlamat dan tidak perlu dilanjutkan berulang kali," katanya lagi.


Dalam satu hantaran lain juga, Najib juga mempersoalkan pembukaan kedai emas, dengan merujuk satu kenyataan dikeluarkan oleh sebuah syarikat pengedar barangan kemas tempatan.

Syarikat itu berkata mereka akan terus beroperasi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Sejak bila menjual emas dan barang kemas jadi perkhidmatan keperluan (essential service) masa PKP?

"Essential service bagi siapa?" soal Najib.


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) baru-baru ini menyenaraikan sektor perniagaan di bawah kementerian itu yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP. 

Antaranya, kompleks membeli-belah, pasar raya, pasar raya besar dan kedai emas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata, ia sejajar dengan keputusan kerajaan membenarkan perniagaan dalam sektor perdagangan dan pengedaran beroperasi selama PKP.

PKP dilaksanakan di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula 13 Jan lalu sehingga 26 Jan bagi membendung penularan Covid-19.

-MalaysiaKini/TunCarlos