Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kempen Anti-Sawit: Malaysia ambil tindakan undang-undang ke atas Kesatuan Eropah


KUALA LUMPUR - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Kesatuan Eropah (EU) serta negara-negara anggotanya iaitu Perancis dan Lithuania berikutan kempen anti-minyak sawit.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kementerian itu dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada Jumaat memfailkan suatu permohonan untuk konsultasi melalui Mekanisme Penyelesaian Pertikaian di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

"Tindakan undang-undang ini menunjukkan keseriusan kerajaan dalam melindungi kepentingan industri sawit negara terhadap dasar yang dilaksanakan EU," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.


Beliau berkata, tindakan itu diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Julai 2020 susulan langkah-langkah yang dikenakan EU dan dua negara tersebut berkaitan pelaksanaan ‘Delegated Regulation’ di bawah Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui EU II (EU RED II) yang memberi kesan kepada industri sawit negara.

Menurutnya, Malaysia telah melaksanakan pelbagai langkah termasuk mengadakan Misi Ekonomi dan Teknikal ke Eropah selain memberikan maklum balas terhadap pelaksanaan EU RED II.

Bagaimanapun, jelasnya, EU tetap meneruskan pelaksanaan EU RED II tanpa mengambil kira komitmen serta pandangan Malaysia.


Pelaksanaan EU RED II berkenaan telah mengklasifikasikan minyak sawit sebagai suatu produk yang mempunyai kadar risiko perubahan guna tanah secara tidak langsung yang tinggi.

"Hal ini akan menyebabkan penggunaan minyak sawit sebagai biobahan api di EU tidak diambil kira dalam pengiraan sasaran tenaga boleh diperbaharui dan seterusnya mewujudkan sekatan perdagangan yang tidak wajar terhadap industri sawit negara.

"Tindakan EU ini juga adalah bertentangan dengan prinsip amalan perdagangan bebas yang telah digariskan oleh WTO," katanya.

Mohd Khairuddin berkata, Malaysia berharap supaya WTO melalui Badan Penyelesaian Pertikaian dapat meneliti dan memperhalusi hujah serta keterangan Malaysia secara adil dan saksama selaras dengan prinsip undang-undang WTO.


Katanya, Malaysia akan memberikan komitmen dan kerjasama sepenuhnya dalam proses ini khususnya dalam sesi konsultasi kelak dan seterusnya perbincangan bersama Panel WTO yang akan diadakan.

Pada masa yang sama, beliau berkata, Malaysia juga akan terus menjadi pihak ketiga bagi tindakan undang-undang yang telah difailkan oleh Indonesia (Kes No. DS 593: ‘European Union – Certain measures concerning palm oil and oil palm cropbased biofuels)’ melalui DSM di WTO.

"Penglibatan Malaysia ini adalah penting sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap negara pengeluar sawit," kata Mohd Khairuddin. - Bernama