Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Najib desak bekas gabenor Bank Negara perjelas dakwaan terima dana dari Jho Low


PETALING JAYA: Najib Razak mendesak bekas gabenor Bank Negara Zeti Aziz menjawab pendedahan sebuah portal berita tempatan yang membongkar beberapa dokumen membabitkan skandal keluarganya yang didakwa pernah menerima dana lebih RM100 juta daripada ahli perniagaan kontroversi, Jho Low termasuk dari 1Malaysia Development Bhd (1MDB) ke akaun mereka di Singapura.

“Sejurus selepas pilihan raya umum ke-14, bekas gabenor BNM sejak tahun 2000 pernah mengeluarkan satu kenyataan yang kata dia nafi tahu kewujudan dana atau tahu mengenai apa-apa transaksi dalam akaun saya termasuk dana yang dikatakan RM2.6b itu.


“Masa itu, saya amat hairan kenapa dia boleh cakap begitu sedangkan dia yang nasihat saya untuk buka akaun atas nama saya sendiri (dan bukan atas nama parti) untuk menerima dana asing tersebut dan mana mungkin seorang gabenor BNM boleh tidak tahu apabila dana asing berjumlah berbilion masuk ke dalam akaun bank atas nama perdana menteri sedangkan setiap transaksi besar dari luar negara perlu kelulusan BNM,” kata bekas perdana menteri itu dalam catatan di Facebook beliau.

Portal MalaysiaToday semalam melaporkan pegawai kanan di AmInvestment Bank Bhd (Ambank) didakwa bersekongkol untuk membantu dua syarikat yang mempunyai kaitan dengan Jho Low, menjana keuntungan berjuta-juta daripada bon 1MDB pada hari pertama ia dikeluarkan.

Penjualan bon bernilai RM5 bilion itu diatur oleh Ambank dan diluluskan oleh Ketua Eksekutif TIA, Shahrol Halmi walaupun mendapat bantahan daripada pemegang saham, kerajaan Terengganu.


Penerbitan bon bernilai RM5 bilion, yang kononnya untuk pembangunan bersama Pulau Bidong dengan Mubadala, dibuat terburu-buru atas nasihat penasihat khas TIA tanpa menyelesaikan isu dibangkitkan oleh lembaga pengarahnya.

Wang yang diperoleh 1MDB daripada bon tersebut digunakan untuk membayar USD1 bilion kepada PetroSaudi JV. Bagaimanapun, penyiasat kes itu juga mengesahkan USD700 juta dipindahkan ke syarikat milik Jho Low, Good Star Ltd.

Jho Low kemudian didakwa memindahkan berjuta dolar kepada pelbagai individu dan entiti termasuk suami Zeti, Tawfiq Ayman menerusi syarikatnya, Cutting Edge Industries Ltd dalam satu surat bertarikh 13 Mac 2019.


Pada Julai 2018, Zeti dalam kenyataan terbukanya menafikan dakwaan Najib bahawa beliau menyedari kewujudan dana RM2.6 bilion dalam akaun bekas perdana menteri itu.

Sebelum itu, dalam temubual eksklusif bersama portal berita Malaysiakini, Najib mendakwa Zeti ketika menjadi gabenor Bank Negara menyedari kewujudan dana RM2.6 bilion dalam akaunnya sebelum pilihan raya umum 2013, namun tidak pernah mempersoalkan perkara itu.

FMT sedang mendapatkan Zeti yang juga pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) untuk menjawab dakwaan laporan itu. -FMT