Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Maszlee dakwa Tun Mahathir banyak sukarkan beliau ketika jadi Menteri Pendidikan



PETALING JAYA: Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik menyalahkan Dr Mahathir Mohamad dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atas kegagalan banyak langkah reformasi semasa beliau berada dalam kerajaan.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, beliau menjalankan beberapa perubahan dasar, terutama berhubung Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan Akta Badan Berkanun 605 (Tatatertib dan Surcaj) Akta 2000.

“Saya dapat merasai keengganan JPA dan kurangnya minat daripada perdana menteri ketika itu (Dr Mahathir Mohamad),” kata Maszlee semasa menyampaikan ucaptama pada persidangan dalam talian mengenai pendidikan tinggi Malaysia hari ini.


“Beliau (Mahathir) adalah orang yang sama yang memperkenalkan AUKU dan menentang kebebasan akademik selama ini.

“Semasa saya mengemukakan cadangan itu kepadanya, beliau sedikit keberatan.”

Maszlee juga berkata, beliau berdepan halangan dalam melaksanakan reformasi disebabkan birokrasi di kementeriannya, selain menambah bahawa beliau berharap untuk kembali ke dalam kerajaan pada masa depan.

“Sekiranya ada orang yang fikir bahawa mereka bekerja semata-mata untuk bekerja dan tidak mempunyai aspirasi yang sama untuk perubahan dan pembaharuan, itu boleh menjadikan hidup anda sukar.

“Itulah apa yang berlaku pada zaman saya.


“Sekiranya kita kembali ke kementerian lagi, kita mesti selesaikan isu dengan birokrat terlebih dahulu. Kita mesti berusaha memenangi hati mereka terlebih dahulu.”

Maszlee memenangi kerusi Simpang Renggam daripada Gerakan dengan majoriti 3,475 undi pada pilihan raya umum 2018.

Selama menjadi menteri, Maszlee dipuji dan dikritik atas usahanya, yang digambarkannya sebagai “komited untuk mengembalikan autonomi universiti dan integriti akademik”.

Antara perubahan yang dilakukannya ialah membenarkan pelajar sekolah rendah memakai kasut hitam ke sekolah.

Beliau juga memperjuangkan agar pelajar universiti dibenarkan mengambil bahagian dalam aktiviti politik seperti pilihan raya kampus. -FMT