Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pemadam api kenderaan meletup, peniaga warung maut


SUNGAI PETANI: Seorang lelaki maut selepas alat pemadam api kereta yang diletakkan di hadapan rumahnya dekat Bandar Puteri Jaya di sini, meletup tengah hari tadi.

Letupan alatan terbabit terkena pada kaki, paha dan lengan kiri mangsa.

Dalam kejadian jam 1.15 tengah itu, mangsa yang berusia 43 tahun, ditemui terbaring oleh isterinya yang berusia 38 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata isteri mangsa bergegas melihat keadaan suaminya sejurus terdengar letupan kuat di hadapan rumah mereka.


Beliau berkata, isteri mangsa dengan bantuan jiran mengejarkan mangsa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan segera.

"Setibanya di zon kuning, mangsa masih sedarkan diri, namun kira-kira 20 minit kemudian doktor memaklumkan mangsa meninggal dunia.

"Siasatan awal mendapati, mangsa dan isterinya adalah peniaga warung di Bandar Puteri Jaya. Mangsa dipercayai bekerja separuh masa membaiki peralatan elektronik di hadapan rumah mereka sebagai pendapatan sampingan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Adzli berkata, seorang saksi kejadian memberitahu sedang duduk bersembang di hadapan rumah itu sambil memerhati mangsa membaiki radio yang dihantarnya.

Beliau berkata, pemadam api terbabit adalah jenis kegunaan di dalam kenderaan, namun kemudian dikeluarkan dan berada tidak jauh dari tempat mereka berbual.

"Pemadam api itu dilihat sudah berada di situ sejak dua hari lalu ketika saksi menghantar radio untuk dibaiki.

Adzli berkata, siasatan juga mendapati, alat pemadam api terbabit secara tiba-tiba mengeluarkan asap putih.


"Saksi berusia 43 tahun itu memberitahu, melihat kejadian itu, mangsa terus mengambil alat terbabit untuk membuangnya tetapi alatan itu terus meletup.

"Akibat letupan itu, mangsa mengalami kecederaan di paha, kaki dan lengan kiri.

"Sewaktu kejadian, saksi dan mangsa saja berada di tempat kejadian dan tiada saksi lain yang melihat kejadian itu. Siasatan awal polis dapati tiada unsur jenayah di lokasi kejadian," katanya.

Anggota bomba melihat lokasi kejadian- Foto ihsan Bomba

Adzli berkata, Bahagian Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang sampai di lokasi kejadian setakat ini belum dapat memastikan punca letupan pemadam api terbabit.



Beliau berkata, Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menjalankan siasatan pada pemadam api berkenaan dan mendapati ada kesan potong pada alat berkenaan.

"Siasatan lanjut di tempat kejadian tidak menemui alatan yang digunakan untuk memotong pemadam api berkenaan.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dan akan dibedah siasat esok," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan masih dilakukan pasukan forensik JBPM Kedah. -BHonline