Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Peguam bekas Presiden UMANY rayu kurangkan wang jaminan


Bekas presiden Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (Umany) Wong Yan Ke dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan mengingkari arahan polis dalam satu serbuan yang dilakukan di sebuah rumah pada 7 Nov lalu.

Bagaimanapun Wong mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan majistret Nurshahira Abdul Salim.

Mengikut kertas pertuduhan, Wong didakwa mengingkari perintah Asisten Superintendan Lee Robert supaya berhenti membuat rakaman video secara langsung ketika polis membuat serbuan di rumah berkenaan.


Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum sebulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret menetapkan 21 Feb untuk sebutan semula kes dan memerintahkan ikat jamin sebanyak RM1,000.

Wong bersama peguam ketika keluar dari Mahkamah PJ

Bercakap kepada pemberita, peguam Wong, Rajsurian Pillai memberitahu bahawa pihak pendakwaan meminta mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM7,000.

Pihak pembelaan bagaimanapun meminta Wong dikenakan bon tanpa cagaran, dengan alasan antara lain, lulusan UM itu tidak akan ke luar negara dan telah bekerjasama dengan pegawai penyiasat.


Media sebelum ini melaporkan Wong ditahan ketika polis menyerbu rumah Presiden Umany, Yap Wen Qing berhubung siasatan terhadap kenyataan persatuan itu mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong.

Kenyataan itu dibuat susulan penolakan Seri Paduka terhadap permintaan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat dan titah baginda agar ahli parlimen menyokong Belanjawan 2021.

Dalam kenyataan itu Umany berpendapat bahawa Agong "tidak boleh campur tangan dalam urusan negara dan harus selalu mengekalkan sikap berkecuali dan memainkan peranannya dalam kerangka yang dibenarkan oleh perlembagaan".

Bagaimanapun persatuan itu menarik balik artikel itu dan meminta maaf kepada baginda.

Pihak polis menyiasat persatuan itu di bawah Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.

-MalaysiaKini