Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Bekas Ketua Risikan dan Pegawai Kanan ATM ditahan kes rasuah berkaitan bekas pegawai Mat Sabu


Bekas ketua pengarah perisikan pertahanan Leftenan Jeneral Sheikh Moksin Sheikh Hassan serta dua lagi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas 17 pertuduhan menerima dan meminta suapan daripada sebuah syarikat kontraktor berhubung beberapa projek di Kementerian Pertahanan (Kementah).

Sheikh Moksin, 59; Leftenan Kolonel Che Ahmad Idris, 54 dan Brigedier Jeneral Mohammed Feizol Anuar Ayob, 50, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Sabariah Othman.

Che Ahmad yang merupakan Ketua Cawangan Peperangan Siber Strategik, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan, Kementah ketika kejadian didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan RM500,000, satu pertuduhan setuju terima suapan RM500,000 dan tiga pertuduhan menerima suapan RM105,000 daripada pengarah urusan FEHM Entity Sdn Bhd (FEHM Entity) Elias Jemadi Tajudin sebagai dorongan melantik syarikat tersebut secara rundingan terus bagi perkhidmatan senggaraan untuk bahagiannya di Kementah.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Kompleks Perumahan Tun Osman Jewa, Kementah, di sini, antara September 2019 dan  7 April 2020.


Mohammed Feizol Anuar yang merupakan penasihat ketenteraan menteri pertahanan semasa kejadian, didakwa atas lima pertuduhan menerima suapan berjumlah RM128,000 daripada Elias Jemadi melalui pengarah eksekutif FEHM Entity Hishamuddin Johari dan pengurus projek syarikat sama Nurin Nazwa Elias Jemadi sebagai dorongan untuk membantu menyerahkan Surat Niat untuk menjadi rakan strategik dan kontraktor senggaraan bagi peralatan perisikan untuk bahagian staf perisikan pertahanan di Kementah.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di parkir Masjid Khalid Al-Walid, Kementah; parkir Dorsett Residences Sri Hartamas; di hadapan syarikat FEHM Entity, Wangsa Maju dan Persiaran Bukit Melawati, Bukit Melawati  di sini, antara 30 Oktober 2019 dan 24 Jun 2020.

Sheikh Mokhsin pula didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan RM1 juta, satu pertuduhan setuju terima suapan RM1 juta dan empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM266,000 daripada Elias Jemadi sebagai dorongan untuk meluluskan cadangan pelantikan syarikat tersebut secara rundingan terus bagi perkhidmatan senggaraan di bahagiannya di Kementah.

Pesara tentera itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di Havana Club, Hotel Concorde; Pejabat Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Kementah dan HairDoc Medical Publica, Solaris Dutamas, di sini antara 20 Jun 2019 dan 5 Jun 2020.


Sheikh Mokhsin juga didakwa atas satu lagi pertuduhan menerima suapan wang tunai RM50,000 daripada Syed Omar Syed Mohamad kerana melantik Syarikat Malvus Sense Sdn Bhd bagi melaksanakan perolehan, perbekalan, penghantaran, latihan dan pentauliahan bagi dua sistem khas kepada bahagiannya di pejabatnya, pada 2.30 petang, 26 Jun 2020.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan TPR Nik Isfahanie Tasnim Wan Abd Rahman masing-masing menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sekali sebulan bagi setiap tertuduh.

Sebelum ini, bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu didakwa sekali lagi, kali ini di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM130,000 daripada sebuah syarikat kontraktor, tahun lalu.


Mohd Azhar Mat Dali

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Azhar didakwa menerima suapan berjumlah RM50,000 daripada Pengarah Urusan Aqsa Solution Sdn Bhd, Elias Jemadi Tajudin, sebagai upah membantu syarikat FEHM Entity Sdn Bhd untuk dipilih menjadi Rakan Strategik dan Kontraktor Selenggara bagi peralatan perisikan Sistem Prisma Direktorat Peperangan Informasi (DPI) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Kementerian Pertahanan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di dalam kereta Proton rasmi berwarna kelabu miliknya di Lorong VIP, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada Ogos tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Azhar Mat Dali didakwa menerima suapan berjumlah RM80,000 daripada Elias Jemadi yang juga Pengarah Urusan FEHM Entity melalui Pengarah Syarikat Ikaira Resources, Zainudin Abdul Majid bagi tujuan sama.

Bagi tuduhan itu, dia didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Kota Damansara Driving Range, Petaling Jaya, dekat sini pada penghujung tahun lalu. -MyMetro