Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Anwar dakwa disoal polis berkait kes liwat


KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Anwar Ibrahim mendakwa beliau turut disoal siasat berhubung “kes liwat” ketika beliau hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berkaitan kes penyebaran senarai nama 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya untuk membentuk kerajaan baru.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut berhubung “kes liwat” itu.

Katanya, beliau disoal siasat berhubung 6 kes, dengan satu daripadanya ialah kes liwat dan selebihnya membabitkan isu politik, termasuk senarai nama 121 ahli politik yang didakwa menyokongnya.

“Ini biasa dan soalan pun longgar. Ini satu rencana politik untuk menekan saya pada saat-saat seperti ini,” katanya selepas selesai memberi keterangan selama 2 jam di Bukit Aman hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed dilaporkan berkata, 113 laporan dibuat terhadap Anwar susulan penyebaran senarai nama ahli Parlimen itu.


Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Selasa lalu, Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara bagi menyampaikan bukti beliau mempunyai majoriti mencukupi untuk menubuhkan kerajaan baru.

Beliau pada sidang media selepas itu berkata, Agong akan menemui beberapa pemimpin parti politik dalam beberapa hari selepas beliau menyerahkan dokumen yang terdiri daripada akuan bersumpah dan pengesahan ketua parti kepada Sultan Abdullah.