Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Polis Perlis tebang semua pokok ketum di Felda


PADANG BESAR: Polis akan memperluaskan penebangan pokok ketum ke seluruh negeri ini dalam masa terdekat bagi mengurangkan aktiviti jenayah membabitkan penyeludupan daun ketum.

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, cadangan itu akan dibawa kepada Penasihat Undang-Undang Negeri memandangkan tiada akta khusus di peringkat Persekutuan yang membenarkan tindakan itu.

Katanya, kerja penebangan pokok ketum yang mula dilakukan di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini, adalah mengikut Akta Tanah 1960 yang khusus bagi kawasan penempatan berkelompok sahaja.




"Kita akan bincang secara menyeluruh bersama Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri agar proses penebangan pokok ketum dapat diperluaskan di luar kawasan selain Felda di negeri ini.

"Kita sudah teliti perkara ini (tebang pokok ketum), jika pokok ini ditebang kita dapat mengurangkan kadar penyeludupan daun ketum sehingga 40 peratus kerana ketika ini, setiap hari kita menahan penyeludup ketum.

Datuk Surina Saad

"Jadi kita harap, negeri lain boleh mengambil langkah sama bagi mengurangkan aktiviti jenayah penyeludupan ketum," katanya ditemui di Felda Mata Ayer di sini.

Terdahulu, Surina melakukan tinjauan di beberapa kawasan di Felda Mata Ayer bagi melihat proses penebangan pokok ketum milik penduduk berkaitan.




Mengulas mengenai penebangan pokok ketum yang dilaksanakan hari ini, Surina berkata, 250 ke 300 pokok ketum ditebang.

"Jumlah pokok ketum di kawasan Felda di Perlis dianggarkan antara 1,500 ke 2,000 pokok.

"Kita anggarkan kesemuanya akan dimusnahkan dalam masa sebulan bermula hari ini termasuk anak pokok yang baru ditanam penduduk," katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Pengurusan Isu dan Pewarisan Ibu Pejabat Felda Mohd Yassin Mohd Yusuf berkata, sekiranya masih ada peneroka didapati menanam ketum, hak pemilikan tanah Felda dan peneroka boleh dilucutkan.

"Tindakan ini boleh dikenakan ke atas peneroka kerana melanggar syarat perjanjian antara FELDA dan peneroka kerana menanam pokok yang boleh membawa kepada pelanggaran undang-undang berkaitan jenayah," katanya.

-MyMetro