Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Azmin Ali pertahan kenyataan Zahid Hamidi



SABAH: Azmin Ali tampil mempertahankan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan menyifatkan kenyataan bahawa ramai ahli parlimen Umno dan BN menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, hanyalah pandangan peribadinya.

Menurut Azmin yang merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, beberapa pemimpin BN telah menyatakan sokongan Umno masih terhadap Perikatan Nasional (PN).

“Itu pandangan peribadi beliaulah. Kita lihat ada kenyataan pemipin-pemimpin tertinggi BN yang menyatakan dengan tegas bahawa Umno kekal bersama PN...Kerana ini sebuah kerajaan yang telah terbukti dalam tempoh begitu singkat melaksanakan beberapa inisiatif yang akhirnya mendapat pengiktiraafan dunia.


"Saya percaya semua pihak dapat melihat perkara ini, kecuali satu dua watak (ahli politik) yang terlalu rakus dan gila kuasa,” katanya kepada pemberita dalam Program Majlis Sentuhan Mesra Warga DUN Merotai di Bilik Gerakan Utama PN di Merotai.

Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ahmad Zahid bahawa parti tidak boleh menghalang mana-mana ahli parlimennya daripada menyokong Anwar yang berhasrat mangadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membuktikan memiliki sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Dalam kenyataannya semalam, Zahid yang juga pengerusi BN juga mengakui dia dimaklumkan ramai ahli parlimen Umno dan BN yang menyokong Anwar dan dia menghormati pendirian mereka.


Kenyataan Zahid hadir selepas Anwar mengadakan sidang media semalam bagi mengumumkan mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan persekutuan dengan sokongan yang “kukuh”, “meyakinkan” dan “jauh daripada majoriti kecil”.

Dia juga mendakwa mempunyai "dokumen tetap yang tidak boleh diragui" bagi membuktikannya.

Azmin turut menepis soalan pemberita berkenaan kemungkinan Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri dengan menyifatkannya sebagai sesuatu yang “sangat jauh”.




Katanya, ia bukanlah kali pertama Anwar membuat dakwaan memiliki sokongan majoriti.

Dia juga mendakwa terdapat pihak dalam PH sendiri yang mempertikaikan kenyataan Anwar kerana "kenal dengan watak Anwar Ibrahim".

Ketika ditanya tentang keyakinan Anwar berhubung majoriti besar yang didakwa dimilikinya, Azmin berkata: “Jangan tanya saya. Saya pun tak tahu daripada mana dia nak kutip (sokongan). Dari tepi jalan, tak tahulah." ujar Azmin.

-MalaysiaKini