Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Bunuh Pensyarah: Tempahan destinasi Grab kantoikan suami mangsa



SEPANG – Polis berjaya mengenal pasti suami seorang pensyarah sebagai pembunuh berdasarkan tempahan khidmat e-hailing Grab yang membongkar pergerakan suspek ke lokasi terakhir mangsa.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek apabila disoal siasat mendakwa mencari isterinya yang tidak pulang namun menimbulkan keraguan apabila kereta Grab yang ditempah terus meluru ke lokasi kejadian.

“Kebiasaannya jika kita mencari orang atau ahli keluarga yang hilang pastinya akan merayau ke merata tempat dan bukannya ke satu lokasi khusus seperti yang dilakukan suspek sehingga kantoi perbuatan jenayahnya dan ditangkap polis,” katanya pada sidang media di sini.


Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah KLIA dan Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Selangor yang disaksikan di IPD KLIA hari ini.

Katanya, polis telah selesai merakam keterangan anak perempuan kepada pensyarah wanita yang dibunuh oleh suaminya berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, di sini, dalam kejadian pada 29 Julai lalu.

Wan Kamarul Azran berkata, keterangan daripada remaja perempuan berusia 14 tahun itu telah diambil pegawai penyiasat kes Jenayah KLIA pada 31 Julai lalu.


“Ya, kita sudah selesai ambil keterangan daripada anak perempuan mangsa yang masih trauma lagi pada Jumaat lalu, sejurus selepas jenazah emaknya dikebumikan di Subang.

“Selain anak perempuan itu, kita juga akan merekod keterangan beberapa individu lain untuk siasatan lanjut dalam kes bunuh ini,” katanya.

Mengulas berkenaan sama ada pihaknya ada menerima laporan daripada mangsa sebelum kejadian, Wan Kamarul berkata, tiada laporan diterima sebelum kejadian bunuh itu berlaku.

“Semakan dibuat dapati tiada laporan pernah dibuat mangsa mengaitkan sebarang masalah rumah tangga pasangan terbabit,” katanya.


Katanya, anak perempuan mangsa yang masih trauma sedang ditempatkan di bawah jagaan dan perlindungan keluarga mangsa dan polis sentiasa memantau perkembangan keadaan remaja itu.

Selain itu, tambahnya, polis sudah mengenal pasti beberapa individu lain dalam kes ini termasuk seorang perempuan yang dikaitkan ada hubungan dengan suspek.

“Kita mendapat maklumat perempuan itu kini berada di Terengganu, maka kita akan mengambil keterangan wanita itu nanti,” tegasnya lagi.

Pada 31 Julai lalu, suspek lelaki yang merupakan suami mangsa, berusia 41 tahun telah direman bermula Jumaat sehingga 6 Ogos ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh isterinya Profesor Madya Maizatul Niza Othman di dalam sebuah kereta di Taman Mas Putra Perdana, Rabu lalu.



Ketika kejadian, suspek dipercayai marah kerana isterinya mahu memfailkan penceraian mereka sebelum bertindak menjerut leher isterinya dengan menggunakan tudung yang dipakai mangsa sehingga mati, sebelum membawa isterinya berusia 40 tahun itu dengan kenderaan tersebut menghala ke Tasik PKNS, Pinggiran Cyberjaya kira-kira jam 4.30 petang.

Siasatan polis mendedahkan suspek dipercayai meletakkan mayat isterinya, di tempat duduk pemandu dan mengambil dompet serta telefon mangsa sebelum meninggalkannya dalam keadaan enjin dihidupkan.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan bersama anak perempuannya yang berusia 14 tahun keluar menaiki Grab dan pergi semula ke lokasi terbabit pada Khamis jam 1.23 pagi sebelum menghubungi polis.

-MalaysiaGazette