"Tak boleh bicara soal ekonomi dan keadilan kalau kayakan anak-pinak." ujar Anwar



Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata ramai pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang “tergelincir daripada landasan” ketika memegang kuasa dahulu.

“Kita hadapi ujian di peringkat awal adalah kerana kita dah mula pegang tampuk kekuasaan. Bila diuji masa senang, ramai yang gagal.

“Bila susah, derita, dalam keadaan susah. Tapi bila kita ada di tampuk kekuasaan, banyak kecuaian. Cara kita menilai hilang, tergelincir dari landasan,” katanya ketika berucap di Konvensyen Penerangan PKR di Ampang hari ini.


Anggota Parlimen Port Dickson itu mengingatkan ahli parti yang tergelincir daripada landasan parti untuk meninggalkan parti.

“Sebaik tergelincir, kita bukan lagi dalam agenda keadilan. Sebab itu kalau orang nak keluar, silakan keluar,” katanya.

Anwar menjelaskan bahawa landasan parti tersebut adalah berkisar tentang “keadilan”.

“Kita tak boleh bicara soal ekonomi tanpa keadilan. Tak boleh bicara keadilan kalau kayakan anak-pinak.

“Bila kita ada kuasa, bibit sama telah menimpa kita. Ini maknanya kita tak istiqamah,” katanya.


Untuk rekod, hujung Februari lalu, dalam satu gerakan yang diberi julukan Langkah Sheraton, bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan beberapa anggota parlimen PKR keluar parti dan membentuk kerajaan baru di bawah Perikatan Nasional (PN) bersama Umno-BN, PAS, GPS, PBS dan Star.

Sejak itu, beberapa pemimpin PKR yang dilihat sebagai penyokong Azmin meletak jawatan atau dipecat daripada parti itu.

Bagaimanapun, Anwar tidak menamakan mana-mana individu dalam ucapannya.



Beliau menggesa jentera parti untuk turun padang, bertemu rakyat dan menjelaskan berkenaan agenda parti.

“Penjelasan kita bukan sekadar Langkah Sheraton, itu hanya serpihan.

“Orang-orang terlibat pun tak tahu dekat mana nak bertanding.

“Kalau jumpa saya pun banyak senyum sekarang, bukan nak marah dah,” katanya lagi.

-MalaysiaKini

Join our Telegram Channel
Telegram


"Tak boleh bicara soal ekonomi dan keadilan kalau kayakan anak-pinak." ujar Anwar "Tak boleh bicara soal ekonomi dan keadilan kalau kayakan anak-pinak." ujar Anwar Reviewed by Tun Carlos on July 26, 2020 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.