Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Covid-19: Kes baru kembali ke dua angka, kluster baru dikesan di Sarawak


Kluster Covid-19 baru dikesan di Kuching, Sarawak manakala kluster sedia ada mencatatkan kes-kes baru setelah keadaan wabak membaik seketika di Malaysia.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 14 kes baru direkodkan hari ini, terdiri daripada tiga jangkitan yang diimport dan 11 penularan tempatan.

Kes-kes yang diimport itu melibatkan rakyat Malaysia dengan dua yang pulang dari Rusia dan seorang lagi dari Jerman.

Bagi penularan tempatan, ia melibatkan tiga rakyat Malaysia dan lapan orang bukan warganegara.



Dua daripada kes penularan tempatan yang melibatkan rakyat Malaysia adalah dari pemeriksaan di Hospital Umum Sarawak dan Hospital Keningau.

Warga Malaysia ketiga ialah kontak rapat Pesakit 8,694 dalam kelompok kejuruteraan Kuching yang baru muncul. Mereka bekerja di firma perunding kejuruteraan yang sama.

"Kes pertama kluster ini (kes ke-8694), adalah seorang pekerja di syarikat tersebut yang telah mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan pada 9 Julai 2020 apabila beliau mengalami gejala pernafasan.

"Beliau didapati positif Covid-19 pada hari yang sama. Susulan itu, siasatan dan aktiviti saringan kontak rapat telah dijalankan.

"Setakat ini, seramai 32 kontak rapat beliau telah dikenalpasti dan disaring. Mereka terdiri daripada 16 orang rakan sekerja dan 16 orang ahli keluarga," kata Noor Hisham dalam suatu kenyataan hari ini.



Beliau berkata daripada 32 yang disaring, 16 negatif, 15 masih menunggu keputusan manakala yang terakhir adalah antara kes baru hari ini.

Sementara itu, lapan penularan tempatan yang melibatkan warga asing semuanya berasal daripada kelompok depot tahanan imigresen Sepang.

"Lapan kes ini telah dikesan daripada saringan 115 Orang Kena Tahan (OKT).

"Ini merupakan saringan ulangan iaitu saringan kontak rapat ke atas 115 OKT yang ditempatkan di Blok C pada 10 Julai 2020," katanya.

Jangkitan baru menjadikan kes kumulatif kepada 8,718.



Noor Hisham juga melaporkan empat pesakit Covid-19 telah discaj daripada hospital, menjadikan jumlah pesakit keseluruhan yang pulih menjadi 8,519 atau 97.7 peratus daripada semua kes.

Sehingga kini, katanya, 77 pesakit masih menjalani rawatan di mana tiga daripadanya diletakkan di unit rawatan rapi (ICU). Dua daripada tiga pesakit ICU memerlukan ventilator untuk bernafas.

Tidak ada kematian baru yang dilaporkan, dengan jumlah korban kekal seramai 122 orang.

BACA: Jumlah kes terkini seluruh dunia

-MalaysiaKini