Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Rohingya: Guna taktik rosakkan enjin dan bocorkan bot, elak diusir pulang



Sebuah bot yang membawa seramai 269 pelarian Rohingya ditahan ketika cuba memasuki perairan Langkawi pagi ini.

Pihak berkuasa yang terdiri daripada polis marin dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) membuat penemuan tersebut selepas pemeriksaan dilakukan terhadap bot berkenaan.

Mereka juga menemui mayat seorang wanita yang meninggal dunia di dalam bot tersebut.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan National Task Force malam ini, pihak pihak berkuasa mengesan bot tersebut memasuki perairan negara sekitar jam 5 pagi ini sebelum memintas bot berkenaan.


Ketika pihak berkuasa menghampiri bot, seramai 53 etnik Rohingya telah terjun ke laut dan berenang ke arah pantai.

Namun, pihak APMM berjaya menahan kesemua mereka.

Pemeriksaan juga mendapati kesan bot sengaja dibocorkan dan enjinnya juga mengalami kerosakan yang teruk serta tidak dapat dibaiki.

"Kerosakan yang dialami oleh bot tersebut menyebabkan tindakan pengusiran tidak dapat dilakukan.


"Atas dasar kemanusiaan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membenarkan bot berkenaan ditunda ke Jeti Teluk Ewa Langkawi. Kesemua 269 orang PATI kini ditahan dan diletakkan sementara di Kem Bina Negara Wawasan Langkawi.

"Manakala 1 mayat PATI wanita yang dijumpai telah diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya," kata kenyataan itu.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan pelarian terbabit terdiri daripada 80 lelaki, 138 perempuan, 26 kanak-kanak lelaki dan 23 kanak-kanak perempuan.yang dipercayai menempuh perjalanan selama hampir empat bulan dari kem pelarian Cox's Bazar di Myanmar


Sumber berkata, bot berkenaan dipercayai membawa lebih 500 etnik Rohingya dan 200 daripadanya dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan namun pihak berkuasa masih menyiasat perkara itu.

Sehingga 7 Jun, National Task Force yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia, PDRM, APMM dan beberapa agensi lain telah menahan 396 pendatang asing, 108 tekong dan 11 penyeludup.

Manakala seramai 140 pendatang asing, enam tekong dan 22 kapal diusir ketika cuba menceroboh sempadan negara. -Mkini