Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pemeriksaan suhu hanya di pintu masuk pasaraya sahaja mulai hari ini -Menteri


Pengunjung ke pusat membeli-belah kini hanya perlu menjalani pemeriksaan suhu badan mereka sekali sahaja di pintu masuk utama kompleks beli-belah, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira aduan orang ramai mengenai kerumitan suhu badan mereka perlu dicatat berkali-kali di setiap kedai yang dimasuki di sesebuah pusat membeli-belah.

"Mesyuarat khas menteri-menteri mengenai penguatkuasaan PKP hari ini memutuskan bahawa penyaringan suhu hanya perlu dilakukan sekali sahaja di pintu masuk pusat membeli-belah.


"Keputusan ini bagi memudahkan orang ramai dan pemilik premis supaya tidak mengambil suhu badan pengunjung berkali-kali. Cukup sekadar diambil ketika di pintu masuk utama kompleks beli- belah.

"Bagaimanapun, pemilik premis masih perlu merekod kehadiran pengunjung seperti nama dan nombor telefon melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual," katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata keputusan itu juga digunapakai ke atas hotel-hotel yang sekarang hanya perlu menyaring tetamu di pintu masuk utama.

“Ini bagi membolehkan pengesanan kontak dilakukan, sekiranya terdapat insiden jangkitan Covid-19.


"Ini kerana kemungkinan terdapat pelanggan yang pergi ke 10 buah kedai, jadi bagi memastikan pengesanan individu sekiranya dijangkiti Covid-19, Kementerian Kesihatan (KKM) boleh mendapatkan maklumat dan sebab itu kita masih mewajibkan rekod kehadiran,” katanya.

Pada sidang media itu, Ismail Sabri berkata, bermula 1 Julai ini, 54 buah taman tema termasuk taman tema air akan mula beroperasi, melibatkan lebih 10,000 tenaga kerja di seluruh negara.

Bagaimanapun, pengusaha semua taman tema dan pusat beli belah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, termasuk memastikan jarakan sosial dipatuhi pada setiap masa.



“Bagi taman tema, had pengunjung adalah berdasarkan kapasiti ruang serta saiz kawasan taman tema," katanya.

Ismail Sabri berkata, pengunjung juga perlu mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Penyenggaraan Kolam Renang Awam oleh Pihak Berkuasa Tempatan, serta Garis Panduan Pemantauan Kualiti Kolam Air.

Beliau berkata, garis panduan serta SOP boleh diperolehi dari laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk maklumat lanjut. -MalaysiaKini