Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Saya letak jawatan sebab Muhyiddin tuduh DAP mahu hancurkan Melayu


Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad, berkata ramai yang tidak faham mengapa beliau meletakkan jawatan Perdana Menteri pada Februari lalu.

Menurutnya parti Bersatu tidak memiliki alasan yang baik untuk mengambil tindakan meninggalkan Pakatan Harapan (PH) pada Feb lalu.

Menjelaskan krisis itu sekali lagi melalui klip video yang disiarkan di media sosialnya, Mahathir berkata, ketika itu beliau mendapat sokongan semua pihak dalam PH.


"Saya berpendapat cadangan supaya Bersatu keluar daripada PH tak ada asas yang baik.

"Saya disokong sepenuhnya oleh PH dalam mesyuarat (Majlis Presiden PH) pada Jumaat mereka luluskan (sokong) saya bebas tentukan bila saya nak letak jawatan," katanya merujuk kepada pertemuan pemimpin tertinggi parti Bersatu, PKR, Amanah dan DAP pada 21 Feb lalu.

Mahathir ialah pengerusi PH pada ketika itu.

Untuk rekod menjelang mesyuarat berkenaan wujud beberapa desakan untuk Mahathir menentukan secara jelas tarikh beliau akan berundur bagi memberi jalan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim, menjadi perdana menteri.


Ia merupakan janji yang dipersetujui bersama semua parti PH menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada Mei 2018. Ia dicapai selepas PH sepakat menamakan Mahathir sebagai calon perdana menteri jika BN dapat dikalahkan dalam PRU berkenaan.

Bagaimanapun dalam mesyuarat tersebut, walaupun isu pengunduran berkenaan dibangkitkan, Anwar sendiri meminta pihak terbabit tidak mendesak Mahathir, malah memberikan kebebasan kepada ahli parlimen Langkawi itu menentukan sendiri tarikhnya.

PH jatuh kerana Bersatu

Kata Mahathir beliau memberitahu Muhyiddin Yassin - yang juga presiden Bersatu - dengan sokongan penuh ada padanya, mengapa perlu mereka meninggalkan PH.

"Kalau ada sebab-sebab lain, tunggulah. Kalau ada sebab lain saya akan (bawa Bersatu) keluar PH," katanya.


Namun kata Mahathir, Muhyiddin bertegas mahu membawa Bersatu meninggalkan PH pada hari berkenaan juga dengan alasan "Melayu akan dihancurkan oleh DAP".

Pada masa sama, Mahathir berkata, beliau tidak yakin DAP mampu berbuat demikian.

Justeru, katanya, beliau meminta agar diberikan masa untuk membolehkan isu berkenaan difikirkan dengan mendalam.

"Kerana PH ini ialah parti yang memenangi pilihan raya dan kita bersama PH. Dengan sokongan mereka kita dapat kemenangan (dalam PRU ke-14).



'Takkanlah kita tiba-tiba nak tolak (PH), (kemudian) nak bekerjasama dengan parti yang kalah, parti yang terlibat rasuah, pencurian wang dan lain-lain.

"Kita toleh parti kita (PH), masuk dengan parti yang kalah ini dan parti ini yang dipengerusi oleh Najib Razak akan jadi kerajaan," katanya lagi.

Namun kata Mahathir, pendapat itu tidak dipedulikan lalu dengan mengambil kira keadaan itulah beliau melepaskan jawatannya sebagai pengerusi Bersatu dan perdana menteri.

"Walaupun kemudian dari itu ramai datang meminta saya kembali, saya kembali jadi pengerusi Bersatu tapi tidaklah jadi pengerusi PH kerana kita sudah keluar PH dan PH pun sudah jatuh akibat tindakan kita," katanya.