Wisma Putra bertindak pantas, ISA ISARB dan pasukan selamat dibawa pulang dari tahanan Indonesia
Labels:
Isu Semasa
![]() |
| Pasukan ISA ISARB ketika mengunjungi pejabat Wisma Putra di Putrajaya |
KUALA LUMPUR: Kecekapan Wisma Putra dalam mengendalikan kes rakyat Malaysia yang berdepan masalah di luar negara mendapat perhatian susulan kejayaan membantu pempengaruh ISA ISARB dan pasukannya dibebaskan daripada tahanan imigresen Indonesia sebelum dibawa pulang ke Malaysia.
Pasukan berkenaan difahamkan berada di Kalimantan, Indonesia bagi menghasilkan dokumentari berkaitan isu jerebu sebelum ditahan pihak imigresen negara itu atas syak wasangka sebagai pengintip dari Malaysia.
Penahanan tersebut menimbulkan kebimbangan apabila mereka ditahan lokap selama 5 hari dan kemungkinan berdepan tindakan lanjut, termasuk risiko pertuduhan dan hukuman penjara sekiranya kes berkenaan berlarutan.
Bagaimanapun, tindakan pantas pasukan Wisma Putra yang diketuai Setiausaha Politik, Datuk Ton Zalani, atas arahan Menteri Luar, Mohamad Hassan (TokMat), berjaya menguruskan situasi berkenaan sehingga kesemua mereka dibebaskan dan dibawa pulang dengan selamat.
Seperti mati hidup semula, pengalaman itu diceritakan sendiri oleh pempengaruh tersebut dalam video terbaru mereka yang berdurasi lebih dua jam di Youtube.
Kejayaan itu memperlihatkan kepentingan peranan diplomasi Malaysia, khususnya ketika rakyat negara ini berdepan situasi sukar di luar negara yang memerlukan bantuan segera, koordinasi serta rundingan dengan pihak berkuasa negara terbabit.
Tindakan Wisma Putra turut membuktikan bahawa tanggungjawab kementerian bukan sekadar mengurus hubungan dua hala dan menghadiri persidangan antarabangsa, sebaliknya turut memastikan kebajikan serta keselamatan rakyat Malaysia mendapat perhatian sewajarnya apabila berdepan masalah di negara asing.
Usaha Tok Mat Hassan, Datuk Ton Zalani dan seluruh pasukan Wisma Putra yang bekerja di belakang tabir wajar diberikan penghargaan atas kejayaan memastikan pasukan ISA ISARB kembali ke tanah air dengan selamat.
Dalam keadaan rakyat berdepan ketidakpastian di negara asing, tindakan pantas dan keberkesanan diplomasi seperti ini membuktikan bahawa kehadiran kerajaan melalui saluran diplomatik amat penting sebagai pelindung kepada rakyat Malaysia di luar negara.
TAMAT
video:


