KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak tiba di Mahkamah Tinggi sebentar tadi bagi mengikuti prosiding permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengkaji semula dan meneliti perintah pelepasan dikeluarkan terhadap bekas perdana menteri itu.
Bekas Ahli Parlimen Pekan berusia 73 tahun itu tiba pada jam 3.08 petang dari Penjara Kajang. Turut kelihatan beberapa ahli keluarga termasuk anaknya, Nooryana Najwa.
Pagi tadi, AGC dilaporkan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini, untuk mengkaji semula perintah pelepasan membabitkan penahanan di rumah terhadap Najib yang dikeluarkan pada 6 November lalu.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dipetik berkata, permohonan itu juga bertujuan mendapatkan perintah pelepasan baharu supaya selaras dengan perintah pengampunan bersyarat diberikan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu.
Prosiding petang ini dijadualkan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin.
Pada 6 November lalu, Najib menerusi peguamnya dilaporkan melunaskan denda RM50 juta di kaunter pembayaran hasil dan deposit Mahkamah Tinggi di sini bagi membolehkan baki hukuman penjaranya dijalani menerusi tahanan di rumah.
Bagaimanapun, beliau kembali ke Penjara Kajang selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
AGC kemudian memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah itu ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Perkembangan terbaru itu menyusul selepas Mohd Dusuki sebelum ini menyentuh isu kecacatan pada perintah pelepasan berkenaan.
Beliau berkata, penelitian sewajarnya ketika menyediakan dokumen rasmi itu penting bagi mengelak sebarang pertikaian, khususnya membabitkan ketepatan penggunaan istilah undang-undang.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pengubahan wang haram serta satu salah guna kedudukan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Najib mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 sebelum mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 2 September tahun sama.
Pada 18 September lalu, beliau mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang membolehkan baki hukuman penjara dijalani menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

