Anthony Loke umum letak jawatan Menteri serta merta
KUALA LUMPUR, 10 November – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani tahanan rumah.
Dalam kenyataan media hari ini, Loke berkata keputusan itu selaras dengan pendirian yang telah diumumkannya pada Jumaat lalu, selain berpegang kepada prinsip yang dijelaskan sebelum ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan mandat yang diberikan kepadanya untuk berkhidmat dalam Jemaah Menteri sejak Disember 2022.
Loke turut mengucapkan terima kasih kepada barisan pengurusan tertinggi serta seluruh warga Kementerian Pengangkutan atas komitmen dan kerjasama sepanjang tempoh beliau menerajui kementerian berkenaan.
Menurutnya, beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses peralihan tugas berjalan lancar, selain memastikan segala tanggungjawab dan inisiatif kementerian terus dilaksanakan demi kepentingan rakyat.
TAMAT


